KOTA KINABALU: Hari pertama permohonan pengeluaran i-Citra dibuka, kiosk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dekat sini dilihat penuh dengan pelanggan yang ingin mengemas kini akaun masing-masing.
Tinjauan Utusan Malaysia di Bangunan KWSP mendapati kebanyakan pelanggan yang datang ingin mengemas kini maklumat peribadi termasuk nombor telefon dan menyemak baki akaun KWSP masing-masing.

Mohd Shahrulnizam Ramlih, 24, berkata, dia ingin mengemas kini nombor telefon di mesin kiosk itu bagi membolehkan dia membuat permohonan i-Citra secara dalam talian.

Katanya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia berhadapan dengan pemotongan gaji kerana mereka bekerja mengikut giliran.
Dia yang kini bekerja di kilang makanan laut di Tuaran amat terkesan sejak pelaksanaan PKP. Malah, kilang turut ditutup sementara waktu kerana terdapat penularan jangkitan Covid-19.
“Situasi semasa mendorong saya untuk mengeluarkan simpanan KWSP untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga dan dua anak yang masih kecil.
“Semasa pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar dibuka, saya memang mengeluarkan sedikit simpanan yang ada untuk keperluan semasa.
“Malah kali ini, saya turut memohon pengeluaran i-Citra kerana perlu membayar sewa rumah dan menampung perbelanjaan harian keluarga,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sementara itu, Bobby Issac, 23, berkata, dia mengambil keputusan untuk mengeluarkan simpanan KWSP melalui i-Citra kerana berhadapan dengan pemotongan gaji.
Keadaan yang mendesak sekarang menyebabkan dia memutuskan untuk menggunakan simpanan masa hadapan itu bagi menampung kehidupan seharian.
Dia yang bekerja di bahagian penyelenggaraan di Hotel Shangri-La Tanjung Aru ini turut diberikan cuti tanpa gaji pada hari-hari tertentu.
Ceritanya lagi, sekiranya tiada keperluan, dia tidak akan mengeluarkan simpanan yang ada tapi, keadaan semasa yang mendorong dia untuk menggunakan dahulu simpanan yang ada demi kelangsungan hidup.
Melalui i-Citra, pencarum KWSP yang layak boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2.
Pengeluaran i-Citra diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) pada 28 Jun lalu sebagai inisiatif jangka pendek membantu ahli KWSP yang terkesan akibat pandemik Covid-19.- UTUSAN ONLINE