PUTRAJAYA: Seluruh negara mampu beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) awal bulan depan susulan kadar vaksinasi telah mencapai nilai ambang 10 peratus daripada populasinya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika memberi bayangan ini berkata, prestasi tersebut dibuktikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Ia memberi petunjuk kadar vaksinasi lengkap dua dos sudah melepasi nilai ambang yang ditetapkan untuk negara beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2,” katanya menerusi kenyataan semalam..
Beliau merujuk hantaran terkini oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) yang melaporkan bahawa kadar dos kedua semalam ialah 3,848,376 penerima iaitu 11.8 peratus.
Sementara itu, untuk dos pertama pula semalam merekodkan 8,364,354 penerima iaitu 25.6 peratus dengan jumlah kumulatif kedua-dua dos itu adalah 12,212,730 orang di seluruh negara.
Mengulas lebih lanjut, beliau menyifatkan perkembangan trend positif ini memberi gambaran bahawa negara sedang berada di landasan betul dalam usaha mencapai imuniti kelompok.
“Indikator ini juga sejajar dengan perancangan PPN yang menjangkakan kadar vaksinasi akan mencapai unjuran 10 peratus daripada populasi Malaysia menjelang akhir Julai,” katanya.
Justeru, Ismail Sabri dalam nada optimis tidak menolak kemungkinan jika perkembangan ini konsisten berterusan, seluruh negara dapat beralih ke Fasa 2 PPN pada awal Ogos kelak.
Ketika ini ujarnya, hanya Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan paling baharu hari ini, Sarawak yang telah pun terlebih dahulu berpindah ke Fasa 2.
Lapan buah negeri tersebut jelas beliau, berjaya melepasi nilai ambang ketiga-tiga indikator utama yang ditetapkan kerajaan di bawah PPN sejak dilaksanakan Fasa 1 pada 29 Jun lepas.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun lepas, mengumumkan pelaksanaan PPN sebagai strategi peralihan keluar menerusi empat fasa daripada krisis wabak Covid-19.
Nilai ambang berkenaan diukur antaranya berdasarkan purata kes harian menurun bawah 4,000 kes dan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi berada pada paras sederhana.
Kerajaan menjangkakan, seluruh negara beralih sepenuhnya kepada Fasa 4 PPN menjelang akhir tahun ini dan kehidupan kembali normal seperti sebelum wabak itu muncul tahun lalu. -UTUSAN