LAHAD DATU: Kesibukan mengawasi perairan Sabah tidak menjejaskan semangat pasukan keselamatan di negeri ini melakukan ibadah korban.
Sebagai bukti, anggota Pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), baru-baru ini menyumbangkan tiga ekor lembu sempena Hari Raya Aidiladha kali ini untuk berkongsi daging korban dengan golongan memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, Dr. Jamaluddin Mohd. Ali berkata, ibadah korban yang dilaksanakan secara bergotong-royong ini bertujuan untuk membantu golongan memerlukan terutama asnaf yang tidak mampu melaksanakan ibadah korban.
“Usaha ini adalah hasil sumbangan dan derma daripada warga ESSCOM.
“Saya melihat ibadah korban oleh warga ESSCOM ini dilaksanakan dalam suasana penuh kekeluargaan biarpun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Program itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang untuk sama-sama berkongsi rezeki melalui agihan daging korban yang diedarkan kepada penyumbang, petugas dan golongan asnaf serta fakir miskin di sekitar daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan
Aktiviti melapah dan memotong daging korban ini diadakan secara bergotong royong dan proses penyembelihan diketuai oleh Ketua Staf Bahagian Operasi Udara ESSCOM Briged Jeneral Ayub Khan Mohd. Khan.- UTUSAN ONLINE










