PETALING JAYA: Meskipun empat Ahli Parlimen masih belum mendapatkan suntikan vaksin, mereka tetap dibenarkan hadir ke sidang khas Parlimen pada 26 Julai ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, mereka dibenarkan untuk hadir atas sebab tugas mereka sebagai Ahli Parlimen.
“Semua Ahli Parlimen dibenarkan datang ke Dewan walaupun tidak divaksin tetapi kami menasihatkan mereka yang tidak divaksin ini berhati-hati, kerana kita tidak boleh menahan mereka daripada menunaikan tugas di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Bagaimanapun, katanya, lebih 95 peratus Ahli Parlimen telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19, dengan 35 Ahli Parlimen sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Tambahnya, setakat ini sebanyak 90 peratus petugas Parlimen telah lengkap dua dos suntikan.
Ketika ditanya mengenai persiapan persidangan khas, Azhar berkata pihak Parlimen menetapkan house rules, antaranya memastikan setiap individu yang datang ke Parlimen termasuk pekerja kontraktor, kakitangan kementerian dan pegawai pengiring menteri telah divaksin terlebih dahulu.
“Kami akan periksa di luar sebelum mereka dibenarkan masuk…kalau tidak divaksinasi, kami akan halang daripada memasuki Parlimen,” katanya.
Katanya lagi, setiap individu terdiri daripada Ahli Parlimen, pegawai bertugas, kakitangan Parlimen, petugas media, pekerja kontraktor, pemandu dan pengawal keselamatan peribadi perlu menjalani ujian saringan.
Seramai 1,008 orang menjalani ujian saringan dua hari lepas manakala kesemua Ahli Parlimen disaring hari ini.
Persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan selama lima hari mulai 26 Julai ini, manakala sidang Dewan Negara pula diadakan selama tiga hari bermula 3 Ogos ini.- UTUSAN ONLINE










