Durian duri hitam RM400 jadi rebutan ahli perniagaan - Utusan Malaysia

Durian duri hitam RM400 jadi rebutan ahli perniagaan

PEKEBUN durian, Tan Chee Keat memerhatikan durian duri hitam di dusunnya di Titi Serong, Balik Pulau, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Adakah anda sanggup berbelanja sehingga RM400 hanya untuk sebiji durian Black Thorn atau lebih popular dikenali sebagai duri hitam atau ‘ochee’ yang beratnya tiga kilogram (kg) lebih?

Namun, harga bagi durian Gred A yang boleh disifatkan bertaraf kayangan tersebut langsung tidak menggerunkan peminat tegarnya yang sanggup menghabiskan duit semata-mata mahu menikmati buah bermusim dari daerah Barat Daya di sini itu.

Berkongsi perkara tersebut, peniaga durian di Batu Maung, Nicholas Chang, 44, berkata, pelanggan terutama ahli perniagaan dan pengurus syarikat sanggup membeli buah durian jenis duri hitam itu dengan harga mencecah RM100 sekilogram ketika ini.

DURIAN duri hitam dari dusun di Balik Pulau, Pulau Pinang ketika ini antara yang termahal iaitu dijual pada harga RM800 hanya untuk dua biji namun tetap diburu pelanggan khususnya ahli perniagaan.

Ceritanya, buah gred A dari pokok berusia lebih 10 tahun itu dikatakan lebih berkualiti dan bernilai harganya buat para pekebun di Balik Pulau.

“Harga durian duri hitam kini antara yang termahal dijual iaitu RM100 sekilogram berbanding Tupai King berharga RM90 sekilogram.

“Pengeluaran buah itu yang kurang tahun ini disebabkan faktor cuaca menjadikan harga jualannya tinggi ekoran mendapat permintaan luas dari China setiap tahun.

“Selain itu, duri hitam kini menjadi pujaan dalam kalangan pelanggan di Kuala Lumpur terutama ahli perniagaan. Saya pernah membawa kira-kira  10 hingga 15 biji duri  hitam dengan berat lebih tiga kilogram sebiji  ke Kuala Lumpur dan habis dijual sekelip mata,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalalm.

Bagaimanapun jelasnya, di Pulau Pinang,  durian duri hitam kali ini kurang mendapat sambutan dalam kalangan peminatnya disebabkan ramai yang mula memilih akan kenikmatan durian Tupai King.

“Bulan ini, permintaan terhadap durian duri hitam berkurangan iaitu dijual antara dua hingga tiga biji sehari berbanding bulan lalu boleh dipasarkan sehingga enam biji sehari.

“Rasa durian Tupai King yang pahit, manis dan lemak berjaya menarik pilihan pelanggan ketika ini sehinggakan buah itu yang belum luruh dari pokok pun sudah  ada tempahan daripada pelanggan,” ujarnya.

Tambahnya, selain durian duri hitam dan Tupai King, durian jenis Ah Heng dan Hor Lor juga antara yang menjadi pilihan pelanggan namun harganya sedikit murah.

Sementara itu, pemilik kebun Black Thorn di Titi Serong, Balik Pulau, Tan Chee Keat, 30, pula memberitahu, sebanyak 1,500 batang pokok buah itu yang ditanam di kawasan puncak bukit berkeluasan 20 hektar sudah mengeluarkan hasilnya pada pertengahan bulan lalu.

“Setakat ini, hanya lima peratus buah itu sudah dipasarkan di negara ini dan selebihnya dijadual akan dieksport ke China dan Hong Kong akhir bulan ini.

“Sehingga kini juga lebih 15 tan durian duri hitam telah ditempah pelanggan dari dua negara berkenaan manakala di negara ini, tempahan dibuka dan dijual kepada pemborong atau peraih pada harga RM78 sekilogram,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya