Dua 'Spiderman' berniaga teh terkesan PKP - Utusan Malaysia

Dua ‘Spiderman’ berniaga teh terkesan PKP

Peniaga Teh Avengers, Mohd.Zahir Mohd.Sofee (kiri) memakai kostum Spiderman memanggil pelanggan yang lalu-lalang singgah di tempatnya berniaga di Seksyen 20 Shah Alam Selangor. -UTUSAN/ZULFADLI MOHD.ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : ‘Spiderman’ turut tidak terlepas dilanda masalah kewangan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan lebih setahun lalu.

Kostum watak adiwira komik Marvel tersebut, menjadi pakaian seragam seorang peniaga dari Seksyen 8 di sini, Mohd.Zahir Mohd.Sofee, 41, untuk mencari rezeki sambil menghiburkan orang ramai dengan aksi Spiderman sewaktu bergambar bersama.

“Sebelum ini saya bekerja menjual kereta. Setelah berhenti kerja, macam-macam saya berniaga, hinggalah saya menjual teh dari Kedah ini.

“Penjual minuman jenama Teh Avengers ini semuanya memakai kostum Spiderman. Bila kita pakai begini baru orang ramai berhenti,”katanya kepada pemberita di perhentian bas Seksyen 20 di sini.

Mohd.Zahir atau selesa dipanggil Zack berkata, keistimewaan Teh Avengers tersebut, pelanggan boleh merasa dahulu teh tersebut sebelum bersetuju membelinya.

Katanya yang masih bujang, sehari dia boleh menjual 50 hingga 80 botol Teh Avengers dengan harga RM10 sebotol.

Mengulas mengenai pengalaman manis sebagai ‘Spiderman’ Zack berkata, pelanggan bukan sahaja membeli barang jualannya malah memberi tips atau wang tambahan selepas bergambar.

“Hari ini pun seorang wakil rakyat memberi saya RM50 kerana bangga melihat kesungguhan saya dan pekerja saya berniaga  dalam keadaan memakai kostum seluruh badan dalam keadaan panas.

“Seperti adiwira Spiderman yang banyak membantu orang dalam kesusahan, saya mengajak pihak berminat untuk berniaga Teh Avengers.Jangan lekas putus asa dan banyak termenung, berusahalah mencari rezeki saat pandemik Covid-19 menguji kita,”katanya.

Tambahnya lagi, dia yang juga stokis Teh Avengers di Lembah Klang mengajak orang ramai yang ingin berniaga minuman tersebut menghubunginya di talian 018-2725474. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya