KOTA KINABALU: Ahli-ahli Parlimen masih mempunyai ruang untuk membahaskan usul dan rang undang-undang dalam dua persidangan Dewan Rakyat yang akan diadakan pada September ini.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, biar pun persidangan Dewan Rakyat selama lima hari bermula 26 Julai ini terhad kepada sesi pembentangan namun, ahli Parlimen masih diberikan ruang untuk berbahas dalam persidangan Parlimen akan datang.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan merangkap Ahli Parlimen Beluran ini berkata, persidangan Dewan Rakyat atau Parlimen kali ini adalah sidang khas yang dipanggil oleh Perdana Menteri dan ia tertakluk kepada peraturan mesyuarat yang ditetapkan.
Bagaimanapun, kerajaan memutuskan persidangan kali ini akan memberi fokus kepada pengurusan Covid-19.
“Tapi seperti dijadualkan, dua persidangan Parlimen yang menyusul selepas ini akan memberi ruang kepada persidangan seperti biasa iaitu membolehkan setiap ahli Parlimen menyuarakan apa juga pandangan terhadap perjalanan kerajaan dan rang undang-undang yang akan dibentangkan,” katanya selepas walkabout ke Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih, Putatan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan pemimpin pembangkang yang menyatakan persidangan Parlimen pada 26 Julai ini tidak memberi ruang kepada ahli Parlimen untuk berbahas dan membentangkan usul.
Semalam, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menyifatkan sidang khas Dewan Rakyat sebagai helah kerajaan bagi memenuhi tuntutan semua pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibuka segera.
Pengarah Komunikasi PKR ini berkata, jika persidangan khas ini sekadar memberi penerangan tanpa perlu dibahaskan, ia pasti akan menimbulkan pertikaian kerana isu yang dibincangkan melibatkan perihal rakyat tapi, ahli Parlimen tidak dibenarkan berbahas mengenainya.
Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon menyangkal perkara itu dengan menyatakan ahli Parlimen dibenarkan bertanya soalan dan membuat cadangan pada persidangan khas Dewan Rakyat mulai 26 Julai ini.
Katanya, biarpun tiada sebarang usul akan dibahaskan tapi, jika ada cadangan atau pertanyaan, ahli Parlimen boleh mengemukakan perkara itu semasa sesi soal jawab dan itu juga dikira perbahasan.
Tambah beliau, ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang tidak akan dihalang daripada mengemukakan sebarang pertanyaan yang berbangkit. -UTUSAN ONLINE










