MELAKA: Kira-kira 12,000 penduduk di Ayer Keroh dan Taman Tasik Utama dekat sini membantah penempatan pekerja asing seramai 3,200 orang yang mendiami kawasan perumahan dan pangsapuri di situ.
Bantahan tersebut dikemukakan kepada kerajaan negeri menerusi dua memorandum yang akan diserahkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali untuk memohon tindakan segera diambil bagi memindahkan kesemua pekerja terbabit ke kawasan baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ayer Keroh, Ismail Othman berkata, 8,000 penduduk melahirkan keresahan berikutan 51 pekerja asing telah dikesan positif Covid-19, baru-baru ini.
Menurutnya, mereka adalah antara 79 pekerja asing iaitu 16 dari Nepal dan Bangladesh (63) yang dibawa dari Kuala Lumpur untuk bekerja di kilang berhampiran.
“Bukan sahaja mereka adalah antara teramai positif Covid-19, tetapi juga beberapa masalah sosial lain yang sebelum ini membelenggu penduduk di sini sejak lebih 20 tahun lalu.
“Banyak masalah yang ditimbulkan oleh pekerja warga asing ini antaranya sering bergaduh, mabuk, buang sampah merata-rata, malah, ada yang mandi di luar rumah. Justeru, kami harap sesuatu dapat dilakukan,” katanya ketika sidang akhbar di Peringgit dekat sini, hari ini.
Ismail dan Timbalan JPKK Taman Tasik Utama, Mohd. Zaini Mohd. Ashri menyerahkan memorandum tersebut bersama Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Mohd. Arif Yusa kepada Pengerusi Jawatankuasa Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) negeri, Ramli Mohd. Ali.
Menurut beliau lagi, pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 194 rumah yang disewa pekerja asing melibatkan kira-kira 1,200 orang di sekitar Taman Muzzafar Shah, Rumah Pangsa Melor, Rumah Pangsa Murni, Taman Muzzafar Heights, Taman Ayer Keroh Heights dan Taman Takh.
Sementara itu, Mohd. Zaini pula berkata, beliau yang mewakili 4,000 penduduk turut menggesa warga asing yang mendiami beberapa rumah sewa dan pangsapuri di kawasannya perlu berpindah ke penempatan baharu.
“Sudah tiba masanya, semua pekerja warga asing ini wajar dipindahkan ke penempatan lain dan bukannya di kawasan perumahan.
“Beberapa penduduk juga dijangkiti Covid-19 kerana ini berpunca daripada pekerja kilang berhampiran dan ini sebenarnya merisaukan penduduk,” katanya. -UTUSAN ONLINE