TELUK INTAN: Sudahlah bawa daun ketum, guna pula surat kebenaran palsu kononya dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk membawa masuk barang ke ibu negara.
Tipu daya tersebut ternyata gagal dan cubaan dua lelaki menyeludup 475 kilogram daun ketum ke Lembah Klang menggunakan surat kebenaran MITI berjaya dikesan apabila kenderaan tersebut ditahan di lampu isyarat Batu 5, Jalan Teluk Intan-Sabak Bernam, di sini semalam.
Dua lelaki berkenaan iaitu pemandu lori berusia 48 tahun dan kelindan berusia 47 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Pasukan Polis Marin Kampung Acheh menahan mereka pada pukul 1.45 pagi
Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Superintenden Shoppri Saad berkata, tangkapan ke atas kedua-dua suspek itu susulan maklumat dan risikan yang dilakukan selama sebulan.
Katanya, lori untuk kegunaan logistik dinaiki mereka ditahan ketika berhenti di lampu isyarat.
“Pemeriksaan di dalam lori itu menjumpai 95 bungkusan plastik hitam berisi 475 kg daun ketum yang dianggarkan bernilai RM28,500 di bahagian belakang kenderaan.
“Suspek turut mengemukakan surat kebenaran MITI bagi merentas negeri namun semakan mendapati ia adalah surat kebenaran palsu,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati, bekalan daun ketum itu diperoleh dari Seberang Perak untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.
Katanya, daun ketum dipercayai mendapat permintaan tinggi di Lembah Klang menyebabkan suspek mengambil peluang menyeludupnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi mengaut keuntungan.
“Dua lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya. – UTUSAN ONLINE










