DBP tumpu terbitkan buku bidang perubatan tahun ini - Utusan Malaysia

DBP tumpu terbitkan buku bidang perubatan tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan memberi tumpuan untuk menerbitkan buku yang berkaitan bidang perubatan pada tahun ini sesuai dengan situasi semasa yang dihadapi sekarang.

Usaha tersebut yang diberi tanggungjawab kepada Bahagian Buku Umum, agensi berkenaan dan akan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah antaranya Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) , sebuah agensi di bawah Kementerian Kesihatan, Universiti Kebangsan Malaysia (UKM dan Agensi Nuklear Malaysia sebuah agensi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Pada masa sama, DBP akan meneruskan usaha untuk menerbitkan buku dalam bidang sains  dan teknologi, sains sosial dan kemanusiaan, agama, falsafah dan tamadun Islam yang  meliputi 49 subbidang.

Berkongsi lebih lanjut mengenai usaha tersebut Ketua Pengarah DBP,  Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran menjelaskan pada tahun lepas, pihaknya menetapkan sasaran penerbitan sebanyak 355 judul. 

ABANG SALLEHUDDIN ABG.
SHOKERAN

Walau bagaimanapun kata beliau pada tahun tersebut DBP hanya berjaya menerbitkan sebanyak 172 judul kerana kekangan kerja pracetak dan cetak yang tergendala akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara. 

“Tanpa kekangan tersebut, DBP berupaya mencapai sasaran penerbitan yang ditetapkan kerana sewaktu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020, sebanyak 207 judul am baharu masih berada pada peringkat pracetak dan 24 judul pada peringkat cetak,” ujarnya kepada Utusan Online.

Katanya lagi, pada setiap tahun, DBP mempertingkatkan jumlah penerbitan antara lima  hingga 10 peratus dengan bilangan staf editorial yang ada. 

Pihaknya juga kata beliau akan terus berusaha meningkatkan bilangan penerbitan sesuai dengan peranan DBP dalam membina dan memperkaya bahasa kebangsaan menerusi aktiviti penerbitan.

Ketika ditanya mengenai cara DBP membantu memartabatkan bahasa kebangsaan Abang Sallehuddin berkata, pihaknya melaksanakan pelbagai kempen bahasa semenjak penubuhannya agensi tersebut.

Walaupun mempunyai perubahan nama kempen seperti Minggu Bahasa, Bulan Bahasa dan Sastera Negara, Bulan Bahasa Kebangsaan dan kini Dekad Bahasa Kebangsaan, kesemuanya tetap bertujuan untuk mempersegar kecintaan terhadap bahasa kebangsaan. 

“Pelbagai kegiatan dilaksanakan oleh DBP termasuk program penggalakan, pembinaan dan penyebaran melalui pelbagai media. Masyarakat sentiasa menyambut baik dan memberikan sokongan terhadap pelaksanaan kegiatan DBP, “ujarnya lagi.

DBP sentiasa berusaha mendekati masyarakat termasuk generasi alpha dengan pelbagai pendekatan dan hal ini termasuklah antaranya menggunakan media sosial dalam penyebaran.

DBP berharap sokongan dan kerjasama masyarakat dalam membantu DBP mengembangkan bahasa dapat ditingkatkan lagi dan mengharapkan sokongan pelbagai pihak sama ada dalam kalangan pemimpin, penjawat awam dan swasta mahu pun generasi muda dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya