PETALING JAYA: Menyedari ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19, Pejabat Konsul kehormat Ukraine dan Poland di Pulau Pinang menganjurkan bank makanan bagi membantu penduduk pulau tersebut.
Program yang dijalankan buat pertama kali semalam dirasmikan oleh Konsul kehormat Ukraine di Pulau Pinang, Datuk Seri Chuah Kim Seah bersama konsul kehormat Poland di Pulau Pinang, Datuk Seri Suppiah Manikam di Georgetown.
Pembantu Peribadi kepada Konsul kehormat Ukraine, Cecilia Loo Lay See berkata, program itu sepatutnya bermula dari 3 petang dan berakhir dua jam kemudian, namun, semuanya selesai dalam tempoh 45 minit.
“Sumbangan diagihkan kepada 95 penerima. Bank makanan ini akan diadakan setiap Isnin, Rabu dan Jumaat sehingga 30 Julai ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pejabat Konsul Kehormat Ukraine di Pulau Pinang memulakan operasinya pada 24 Ogos 2020 di bawah bidang kuasa Kedutaan Besar Ukraine di Kuala Lumpur.
Setakat semalam, Pulau Pinang telah memberi suntikan vaksin pertama kepada lebih 500,000 warganya dan menyempurnakan dos kedua kepada lebih 200,000 orang atau 12.1 peratus daripada keseluruhan rakyat negeri itu.










