Bukit Malut di Langkawi pun kena PKPD - Utusan Malaysia

Bukit Malut di Langkawi pun kena PKPD

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bukit Malut di Pulau Langkawi, Kedah yang kontroversi dengan isu pelarian luar, bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Selasa ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkampungan haram dalam tanah kerajaan negeri tersebut antara 29 lokaliti di negara ini yang dilaksanakan PKPD.

Penempatan setinggan mega itu yang diteroka pendatang Myanmar sejak 1980-an lalu pernah mendapat liputan luas Utusan Malaysia awal tahun ini kerana dihuni lebih 10,000 warga asing.

Dianggarkan terdapat 2,500 rumah pendatang tanpa izin di lokaliti ini yang turut digelar Little Myanmar serta terkenal dengan kadar jenayah tinggi selain mengancam ekologi alam sekitar.

Turut dikenakan PKPD secara serentak bermula lusa ini ujarnya ialah 14 lokaliti dalam Jajahan Pasir Puteh, Kelantan yang melibatkan enam di Mukim Bukit Jawa dan lapan di Mukim Abal.

Ia meliputi Pekan Selising, Kampung Selising, Kampung Tok Dir, Kampung Bukit Bidang, Kampung Bukit Merbau, Kampung Pak Omar, Kampung Berangan, Kampung Banggol Pak Esah, Kampung Alor Geliong, Kampung Banggol Jenereh, Kampung Kubang Sawa, Kampung Lubuk Kedondong, Kampung Chat dan Kampung Banggol Dollah.

Di Perak, empat lokaliti Mukim Ulu Selama, Daerah Larut Matang Selama juga diwarta PKPD iaitu Kampung Sungai Seputeh, Kampung Teluk Mas, Kampung Harok dan Kampung Tapah.

Sementara itu Ismail Sabri menambah, hanya satu lokaliti di Terengganu dikenakan PKPD selama 14 hari iaitu Kampung Teluk Menara dalam Mukim Manir, Daerah Kuala Terengganu, manakala di Sabah, ia melibatkan sembilan lokaliti antaranya di Kampung Sumaang, Daerah Ranau, Bahagian Pantai Barat dan Kampung Mananam, Daerah Tongod, Bahagian Sandakan.

Dua lokaliti ujar beliau pula terletak dalam Bahagian Tawau iaitu Taman Semarak Megah dan Ladang Belian, Daerah Kalabakan, manakala yang selebihnya dalam Bahagian Pedalaman.

Ia meliputi Kampung Sangkabok, Daerah Menumbok; Kampung Pelakat dan Kampung Pelakat Paya, Daerah Sipitang serta Kampung Batandok dan Kampung Menanjung, Daerah Beaufort.

Dalam pada itu, cuma satu lokaliti dilanjutkan lagi PKPD selama dua minggu sehingga 9 Ogos ini iaitu Kampung Gong Jering dalam Mukim Bukit Jawa, Jajahan Pasir Puteh di Kelantan.

Bagaimanapun jelas beliau, sembilan lagi lokaliti ditamatkan PKPD secara serentak esok dengan satu daripadanya berakhir lebih awal daripada yang dijadualkan pada 31 Julai depan melibatkan kawasan Damai Apartment di PJS 8, Damansara dalam Daerah Petaling, Selangor yang dihuni lebih 5,000 penduduk dan sudah dikenakan PKPD sejak 18 Julai lalu.

Selebihnya di Sabah meliputi antaranya Borneo Timber di Tongod, Bahagian Sandakan serta Kampung Jempangah dan Kampung Rancangan Klias, Beaufort, Bahagian Pedalaman.

Juga lima lokaliti dalam Bahagian Pantai Barat iaitu Kampung Nahaba, Tegudon, Kota Belud; Kampung Tebongon, Putatan serta Jalan Pasir Likas, Taman Kuala Menggatal dan Kuarters Tangki Air Biru, Telipok dalam Daerah Kota Kinabalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya