Bekalan ikan negara mencecah 169,000 tan metrik sebulan - Utusan Malaysia

Bekalan ikan negara mencecah 169,000 tan metrik sebulan

Ronald Kiandee (tengah) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada salah seorang nelayan di Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih, Putatan hari ini. - UTUSAN/SURAIDAH ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan ikan negara mencukupi dan kekal stabil dengan purata pengeluaran 169,000 tan metrik sebulan.

Jumlah itu melebihi keperluan ikan dalam negara iaitu 125,000 tan metrik bagi tempoh bulan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, biar pun sektor perikanan berhadapan cabaran semasa pandemik Covid-19 namun, bekalan pada masa ini mencukupi dan stabil untuk memenuhi keperluan dalam negara.

Jika dilihat pendaratan ikan di Sabah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini juga mencatatkan jumlah yang tinggi iaitu 107,000 tan metrik yang bernilai RM643 juta.

“Bagi pendaratan ikan di pasar nelayan ini pula, sebanyak 7,000 tan metrik direkodkan dengan nilai mencecah RM35,000,” katanya selepas walkabout ke Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih, Putatan, hari ini.

Menurut Ronald, sektor perikanan turut dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menjamin kelangsungan rantaian bekalan subsektor perikanan.

Pada majlis sama, beliau mengumumkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan RM450,000 bagi menaik taraf pasar nelayan itu dalam masa terdekat ini.

“Pasar nelayan yang dibina sejak 2013 itu akan dinaik taraf sebagai pusat sehenti yang akan menjalankan aktiviti pemasaran ikan, pendaratan dan agropelancongan.

“Apabila ia dapat dilaksanakan kelak, kita akan melihat jeti pendaratan ikan ini bergerak maju ke hadapan dan dilengkapi dengan restoran dan kemudahan lain,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan melalui LKIM juga memperuntukkan RM4.32 juta bagi tahun ini untuk membaik pulih rumah di bawah projek khas perumahan nelayan (PKPN), naiktaraf pasar nelayan dan pembinaan pusat pengumpulan dan pengedaran ikan serta pembinaan dan baik pulih jeti-jeti nelayan.

Selain itu, kerajaan juga melalui LKIM telah memperuntukkan sebanyak RM2.18 juta di bawah dana khas Persatuan Nelayan Negeri (PNN) dan dana khas Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) yang merupakan antara inisiatif dibawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

Ronald turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 100 orang ahli nelayan PNK Kota Kinabalu bagi mengurangkan beban nelayan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Kebajikan semua golongan sasar termasuk nelayan serta jaminan rantaian bekalan makanan adalah keutamaan MAFI.

Justeru, Jabatan Perikanan Negara dan LKIM akan terus memainkan peranan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan, membangunkan industri perikanan negara serta memastikan bekalan ikan negara mencukupi sepanjang masa.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN