Bas Muafakat Johor tambah 10 laluan baharu - Utusan Malaysia

Bas Muafakat Johor tambah 10 laluan baharu

BAS Muafakat Johor yang ditambah 10 laluan baharu sebagai meningkatkan perkhidmatan percuma kepada rakyat di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pengangkutan awam di Johor, kerajaan negeri telah meluluskan 10 laluan baharu bagi Bas Muafakat Johor (BMJ) 2021 yang diusulkan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).

PAJ dalam satu kenyataan memberitahu, penambahan laluan baharu itu membabitkan kos sebanyak RM 3.84 juta bagi menyediakan perkhidmatan secara percuma kepada rakyat.

Menurut kenyataan itu, laluan berkenaan melibatkan jalan di 10 pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Kluang, Muar, Mersing, Kota Tinggi, Labis, Simpang Renggam, Tangkak, Yong Peng dan Pontian.

“Penambahan laluan baharu ini merupakan inisiatif kerajaan negeri dalam memudahkan perjalanan penduduk sekaligus menjimatkan kos sara hidup mereka.

“Laluan baharu ini termasuklah Terminal Kluang – Pekan Kahang; Terminal Maharani – Simpang Jeram – Jorak; Terminal Mersing – Endau; Hentian Labis – Bekok – Pekan Chaah dan Terminal Bandar Pontian – Kukup – Tanjung Piai,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, penambahan 10 laluan baharu itu menyaksikan perkhidmatan bas percuma itu telah diperluas menjadi 71 laluan di seluruh Johor dan melibatkan kesemua 16 PBT.

“Perancangan, penetapan dan semakan laluan BMJ dijalankan berdasarkan beberapa kriteria iaitu melalui kawasan berpenduduk yang tiada perkhidmatan dengan kepadatan tinggi serta melalui kawasan kemudahan awam, pejabat agensi kerajaan, sekolah, kawasan rekreasi dan lain-lain kawasan tumpuan masyarakat setempat.

“Laluan BMJ juga mengambil kira keadaan infrastruktur sedia ada seperti kelebaran jalan, radius pusingan di persimpangan, kemudahan pondok bas sedia ada dan lain-lain,” katanya.

Kenyataan itu turut memberitahu, laluan BMJ yang dicadangkan juga perlu mempunyai integrasi dengan perkhidmatan pengangkutan bas dan teksi atau kereta sewa sedia ada serta perkhidmatan pengangkutan awam yang lain.

“Diharapkan, perkhidmatan Bas Muafakat Johor akan terus efektif agar dapat memberi perkhidmatan pengangkutan secara percuma yang menyeluruh dan membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya