JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa bantuan keperluan makanan yang diberikan sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara dan negeri ini perlu dibuat secara ikhlas dan bukan melibatkan soal perkauman.
Sultan Ibrahim bertitah, bantuan berkenaan dibuat atas dasar membantu golongan individu yang memerlukan.
“Ketika ini, terdapat ramai individu tanpa mengira agama dan bangsa mengalami kesulitan seperti kehilangan pekerjaan dan terputus pendapatan serta berdepan beban kewangan untuk membeli barangan keperluan makanan.
“Jika mahu membantu mereka yang dalam kesusahan, bantulah semua tanpa mengira kaum dan agama, lakukan secara ikhlas tanpa menimbulkan sebarang isu berkaitan perkauman,” titah baginda dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah demikian sebagai mengulas satu rakaman video yang tular dalam media sosial semalam berhubung bantuan keperluan makanan harian yang disediakan di sebuah kedai runcit di kawasan Skudai, Johor Bahru yang dikatakan menimbulkan soal perkauman.
Kenyataan itu turut memaklumkan, Sultan Ibrahim sentiasa menegaskan kepentingan menjaga hubungan antara kaum dan toleransi yang sentiasa menjadi tunjang perpaduan Bangsa Johor.
Baginda turut bertitah agar kurniaan bantuan makanan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) disampaikan kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa di seluruh negeri setiap minggu.
“Niat kita adalah untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan, tidak perlu menimbulkan soal perkauman dalam bantuan yang dihulurkan,” titah baginda. -UTUSAN ONLINE










