PUTRAJAYA: Sebuah syarikat terkenal bertaraf multinasional di Turki, BRB Holding bakal bekerjasama dengan Malaysia dalam pembekalan makanan haiwan berasaskan sawit.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia hasil memorandum persefahaman dengan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
“BRB akan mendapatkan khidmat nasihat MPOC dari sudut bekalan dan pasaran untuk dedak isirung sawit (PKC) di Turki dan negara-negara Eropah terpilih,” katanya menerusi kenyataan.
Syarikat berkenaan yang ditubuhkan pada 1994 lalu itu dipilih kerana terlibat aktif dalam pelbagai projek antarabangsa di lebih 100 buah negara merangkumi bidang penternakan.
Kedua-dua pihak terbabit, ujar beliau, bakal memperincikan lagi bentuk kerjasama dari sudut teknikal dan bekalan minyak sawit Malaysia seperti mana yang sudah dipersetujui.
MPOC jelasnya, akan membantu BRB dalam mendapatkan maklumat terkini dan penerangan mengenai faedah teknoekonomi makanan haiwan berasaskan sawit melalui pelbagai kaedah.
Antaranya kata Mohd. Khairuddin, melalui penganjuran siri seminar dan program kesedaran berhubung kelebihan produk PKC itu kepada pemain sektor ruminan di seluruh Turki sendiri.
“PKC ada potensi besar dimajukan dan digunakan secara meluas dalam industri makanan haiwan memandangkan kelebihannya dari segi kandungan khasiat dan kos,” kata beliau.
Berdasarkan kajian ujarnya, penyediaan dedak untuk ternakan dengan menggunakan PKC adalah lebih kompetitif berbanding kaedah rumusan konvensional sedia ada yang lain.
Ini jelas beliau, termasuk kelebihan dari sudut penjimatan kos yang dijangka mampu memberi lonjakan dan meringankan beban pengusaha industri ruminan dalam jangka masa panjang.
Eksport PKC dari Januari sehingga Mei lalu merekodkan sebanyak 730,000 tan dengan nilai sebanyak RM468,000 manakala secara purata dianggarkan sekitar 2.4 juta tan setiap tahun.
Bagaimanapun tahun lepas, Malaysia berjaya mengeksport sebanyak 2.6 juta tan dengan pasaran tempatan hanya memerlukan 20 peratus daripada pengeluaran PKC negara ini.
“Saya harap usaha yang sedang dan akan dilaksanakan MPOC dapat bantu perkembangan industri PKC negara kita dan seterusnya melonjakkan sektor itu,” kata Mohd. Khairuddin.
MPOC pada majlis pemeteraian memorandum itu di Istanbul, Turki semalam diwakili oleh Pengurus Pemasaran dan Pembangunan Pasarannya, Muhammad Kharibi Zainal Ariffin manakala BRP pula diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Harun Macit yang turut dihadiri Konsul Besar Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd. Dzaraif Raja Abdul Kadir.- UTUSAN ONLINE