Anggap tuduhan sebagai cabaran – Azhar - Utusan Malaysia

Anggap tuduhan sebagai cabaran – Azhar

AZHAR AZIZAN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Meskipun dilabel sebagai orang kerajaan, namun Datuk Azhar Azizan Harun tetap mengendalikan sidang Dewan Rakyat dengan berkesan dan dilihat lebih berkecuali.

Sambil menggunakan analogi ‘rambut saya tidak gugur’, Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu berkata, ia sememangnya antara cabaran yang perlu dihadapi ketika menjalankan tugas.

“Tuduhan itu sentiasa ada, memang begitu, saya kena hadapi kerana tuduhan itu takkan lari. Tapi di luar Dewan semua okey. Saya berkawan dengan semua orang. Ketua Pembangkang, pembangkang, kerajaan.

“Dalam Dewan (Rakyat) lain lah.

“Rambut memang dah putih dari dulu, tapi tidak gugur pun. Jadi tidak mengapa. Rambut saya dah memang macam ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Parlimen.

Kurang daripada 30 minit Persidangan Khas Dewan Rakyat semalam, Azhar telah dikecam apabila pihak pembangkang mempersoalkan kesahihan sesi lima hari persidangan itu.

Bukan itu sahaja, Azhar turut ditekan pembangkang sehingga melabel dirinya sebagai ‘lapdog’ (anjing kerajaan).

Dalam pada itu, Azhar turut mengakui persidangan khas Dewan Rakyat kali ini begitu mencabar buat dirinya apabila sistem sekreteriat Parlimen lumpuh susulan ramai yang positif dan kontak rapat Covid-19.

“Amat mencabar. Sebab penularan covid di Parlimen ini setelah kita dapat keputusan ujian saringan tempoh hari dalam kalangan staf 12 yang positif, kontak rapat 58 orang yang terpaksa di kuarantin. Ke­seluruhannya 70 orang staf tak boleh datang kerja.

“Kemudian yang agak membimbangkan juga selain dari staf 12 orang, 25 orang lagi pegawai yang terlibat disahkan positif manakala 25 orang ini adalah pekerja kontrak, bomba, pemandu dan sebagainya.

“Ada 12 orang polis Parlimen juga positif bersama lapan kontak rapat lagi. Daripada ahli Parlimen, dua positif dan lima ahli Parlimen terpaksa dikuarantin.

“Kita teramat bimbang de­ngan kemungkinan wabak Co­vid-19 walaupun kebanyakan ahli Parlimen iaitu 205 orang sudah ambil dua dos dan yang lain satu dos kecuali tiga orang belum divaksin,” ujarnya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN