9,836 orang sumbang lebih RM715,000 kepada Syed Saddiq - Utusan Malaysia

9,836 orang sumbang lebih RM715,000 kepada Syed Saddiq

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman ketika hadir bagi menghadapi pertuduhan berhubung penyelewengan lebih RM1 juta wang peruntukan parti politik di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan pertuduhan di mahkamah berjaya mengumpul sebanyak RM715,573.77 selepas 24 jam melancarkan dana awam untuk dirinya semalam.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau sudah menutup kempen tersebut setelah kutipan yang dicapai sudah melebihi daripada jumlah wang jaminan yang perlu dibayarnya.

“Saya terhutang nyawa kepada Malaysia. (Setelah) 24 jam, RM715,573.77 (berjaya dikumpul dengan) 9,836 penyumbang. Terima kasih.

“Saya akan terhutang budi untuk selama-lamanya. Saya tidak akan berhenti sehingga kita berjaya membina Malaysia kepada semua rakyatnya. Negara yang semua orang boleh berbangga memanggilnya rumah,” tulisnya dalam catatan terbaharu di Facebook miliknya sebentar tadi.

Dalam entri sama, Syed Saddiq turut berkongsi berkenaan seorang lelaki berusia yang pergi ke pejabatnya untuk menyumbang RM10 yang pada awalnya disangka mahu memohon bantuan.

“Saya rasa nak menangis, dalam keadaan begitu mengingatkan saya sebab mengapa sertai politik. Bukan kerana jawatan atau wang, tetapi untuk membina Malaysia yang maju dan bermaruah.

“Lagi mereka tekan, lagi saya akan lawan. No threats. No intimidation. No offers will ever weaken my resolve to put Malaysia first, saya di sini kerana rakyat. Jatuh bangun di tangan rakyat,” ujarnya.

Semalam, Syed Saddiq dalam siaran secara langsung di media sosialnya memohon sumbangan ramai bagi melunaskan ikat jamin serta membiayai kos guaman melibatkan kes mahkamah membabitkan dirinya.

Menurut pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dia mempunyai tempoh sehingga Selasa ini untuk menjelaskan ikat jamin yang berjumlah RM330,000 bagi dua pertuduhan yang dihadapinya.

Katanya, walaupun sumbangan berjumlah 50 sen atau RM1 namun sekiranya ribuan yang menyumbang, ia akan mencapai jumlah berkenaan dan mampu membayar kepada mahkamah.

Terdahulu, Syed Saddiq dibicarakan atas tuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM1 juta daripada dana milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya