58,000 peneroka setuju pelarasan pinjaman - Utusan Malaysia

58,000 peneroka setuju pelarasan pinjaman

MUSTAPA Mohamed (kanan) berbual dengan ADUN Temenggor, Salbiah Mohamed (dua kiri) ketika melawat Felda Bersia di Gerik hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Lebih 58,000 penerika Felda sudah menyatakan persetujuan untuk menandatangani pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat setakat semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihak pengurusan Felda sedang giat merangka usaha serta libat urus dalam memberi kefahaman kepada peneroka yang belum menyatakan persetujuan berhubung melupusan sebahagian pinjaman peneroka Felda secara bersyarat yang diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 58,481 daripada 95,236 peneroka sudah bersetuju untuk menandatangani perjanjian bersetuju dengan penyata yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Kerajaan telah keluarkan penyata kepada peneroka dan mereka dikehendaki menyatakan persetujuan dengan tandatangan perjanjian terbabit dan tempoh dilanjutkan sehingga Ogos,” katanya kepada pemberita pada lawatan di Felda Bersia di sini, hari ini.

Menurut Mustapa, Felda masih mempunyai masa lebih dua minggu untuk menyakinkan peneroka agar menandatangani pelarasan pinjaman selepas kerajaan mengumumkan melanjutkan tempoh menandatanganinya daripada 14 hari kepada sebulan yang berakhir 11 Ogos ini.

Beliau berkata, langkah telah diambil secara berterusan oleh pihak pengurusan Felda setiap hari dengan mengadakan libat urus walaupun berhadapan dengan kekangan terbesar iaitu pandemik Covid-19.

“Covid-19 banyak memberi kekangan kepada kita yang mana kita ada libat urus secara dalam talian ekoran tidak boleh berinteraksi secara bersemuka, sedangkan kaedah bersemuka ini lebih berkesan meyakinkan peneroka.

“Bagi mengatasi kekangan ini, kita akan mengadakan libat urus yang mana ia penting untuk kita hendak memastikan peneroka memahami, mengetahui apa formula apa kaedah digunakan dalam memotong hutang mereka,” katanya.

Mustapa berkata, hampir separuh peneroka asal sudah meninggal dunia, meninggalkan generasi kedua dan ketiga dan ada di antara mereka tinggal diluar.

Katanya, apa yang penting libat urus serta pencerahan adalah untuk memberi penjelasan supaya peneroka faham betul-betul.

“Saya minta Felda untuk meningkatkan lagi libat urus kerana ia penting sekali.

“Sebahagian daripada masalah adalah pemahaman, sebagai contoh pada peringkat awal seumpamanya mereka berpendapat Felda hendak ambil alih dan itu persepsi yang salah kerana sebenarnya pengurusan yang diambil untuk memastikan ladang diuruskan dengan baik,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya