56 buah rumah musnah terbakar - Utusan Malaysia

56 buah rumah musnah terbakar

Pasukan bomba yang terlibat dalam pemadaman kebakaran di Kampung Titingan, Tawau hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Hanya selang 24 jam selepas kejadian kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu semalam, satu lagi kebakaran berlaku di Kampung Titingan tetapi berlaku di Tawau hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.33 pagi itu, kira-kira 56 buah rumah musnah terbakar.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tawau, Sukur Hatta berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kebakaran itu pada pukul 9.33 pagi.

Kemudian sepasukan 50 anggota dan pegawai pelbagai pangkat dikejarkan ke lokasi kejadian dengan menggunakan sembilan buah jentera.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sedang marak dan memusnahkan beberapa buah rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Sukur, pasukan bomba berhadapan cabaran semasa operasi pemadaman berikutan tekanan air yang rendah, sumber air jauh dan kedudukan rumah yang terlalu rapat.

Malah, mereka terpaksa mendapatkan sumber air daripada longkang dan menggunakan pili bomba yang terletak kira-kira 800 meter dari lokasi kebakaran.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran itu dan api berjaya dikawal pada pukul 10.55 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada 2.20 petang.

Menurut beliau, operasi itu turut mendapat bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN