SEREMBAN: Sebanyak 374 kes positif Covid-19 telah direkodkan di Taman Desaria, Nilai dekat sini yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini sehingga 18 Julai depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seremban, Mohd. Nizam Tajul Arus berkata, sehubungan itu, ujian saringan secara bersasar juga akan dilaksanakan hari ini di taman perumahan tersebut oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
“Saringan bersasar akan dijalankan oleh pihak PKD kepada kumpulan-kumpulan yang kita rasakan berisiko di taman tersebut. Hari ini, PKD akan buat satu klinik sementara dan saringan akan dilakukan di situ.
“Pemasangan kawat duri juga sudah dilakukan bermula semalam, persiapan logistik juga sudah selesai dan hari ini akan kita siapkan mana-mana yang belum lengkap,” katanya hari ini.
Seramai 1,256 penduduk di Taman Desaria terlibat dalam PKPD yang membabitkan 314 unit rumah yang didiami, 17 unit kedai, sebuah balai raya, sebuah masjid dan sebuah premis tadika.
Sementara itu, jelas Mohd. Nizam, kedai-kedai runcit yang berada di dalam kawasan PKPD itu juga akan dibuka bagi memberi kemudahan kepada penduduk yang tidak dikuarantin untuk membeli dan mendapatkan barangan keperluan mereka.
“Bagi mereka yang menghadapi masalah seperti sedang menjalani kuarantin, bantuan makanan akan disalurkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala penduduk yang terdiri daripada pekerja-pekerja asing pula, keperluan mereka akan diuruskan oleh majikan masing-masing,” katanya sambil memberitahu terdapat 14 majikan kilang yang mempunyai pekerja yang tinggal di dalam kawasan PKPD Taman Desaria itu,
Difahamkan, kesemua yang disahkan positif Covid-19 ketika ini di kawasan itu adalah melibatkan beberapa kluster yang dilaporkan sebelum ini iaitu seperti Kluster Industri Permata 1 dan Kluster Industri Permata 2. -UTUSAN ONLINE










