RANAU: Seramai 30,000 orang penerima vaksin Covid-19 di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat manfaat melalui program jerayawara (outreach) yang dilaksanakan sejak Mei lalu.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir. Shahelmey Yahya berkata, kini usaha memberikan vaksin kepada penduduk luar bandar diteruskan melalui Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak).
Beliau berkata, program outreach ini hasil kerjasama antara kementeriannya dengan Kementerian Perpaduan Negara dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Sabah.
Katanya, sejak dilaksanakan pada 21 Jun lalu, tujuh program outreach di bawah Movak ini dilaksanakan di seluruh Sabah dan program ini akan diperluaskan ke daerah lain.
“Kita jangka akan ada lebih daripada 20 lagi program Movak bakal dilaksanakan. Program ini menyasarkan pemberian vaksin kepada penduduk di kawasan luar bandar.
“Ini termasuk pemberian vaksin kepada Komuniti Rukun Tetangga (KRT) di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya selepas lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kampung Bongkud semalam.
Shahelmey berkata, melalui Movak, seramai 480 orang sudah menerima vaksin lengkap dos pertama dan kedua.
Tambah beliau, Sabah akan menerima sejuta dos vaksin pada bulan ini dan ia akan sampai secara berperingkat setiap minggu. Penghantaran vaksin akan terus ditambah pada bulan Ogos, September dan Oktober.
“Dengan perkembangan ini, kita jangka akan mencapai imuniti kelompok menjelang November atau awal Disember ini,” katanya.
Shahelmey yang diiringi oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir turut mengadakan lawatan ke PPV Dewan Masyarakat Ranau. – UTUSAN ONLINE










