300 jemaah solat Jumaat di masjid Putrajaya - Utusan Malaysia

300 jemaah solat Jumaat di masjid Putrajaya

SERAMAI 300 jemaah dibenarkan bersolat Jumaat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini memulakan solat Jumaat dengan had kapasiti baharu yang dibenarkan berjumlah 300 orang jemaah. 

Semalam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengeluarkan ketetapan baharu itu berhubung had jemaah solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat Aidiladha di masjid dan surau Wilayah-Wilayah Persekutuan berkuat kuasa hari ini.

Menurut Pengarahnya, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, ia dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau berkata, bagi solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya menetapkan bilangan jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan seramai 300 orang.

Bilangan jemaah di lapan masjid pusat zon pula dibenarkan seramai 100 orang, manakala masjid kariah dan surau Jumaat dibenarkan seramai 50 orang, selain surau turut diberi kebenaran khas solat Jumaat seramai 40 orang.

Bagi jemaah surau projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula dibenarkan seramai 12 orang.

Bagi solat fardu di kawasan PKP pula, bilangan jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan seramai 100 orang dan lapan masjid pusat zon (50 orang), masjid kariah dan surau (30 orang) dan surau diberi kebenaran khas solat Jumaat (20 orang).

Tinjauan Utusan Malaysia di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini mendapati, jemaah masjid berkenaan hadir dengan had kapasiti maksimum 300 orang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.