30 ahli kariah masjid ceria terima sumbangan menjelang Aidiladha - Utusan Malaysia

30 ahli kariah masjid ceria terima sumbangan menjelang Aidiladha

G. Thiyagarajan (tengah) menyampaikan bantuan kepada salah seorang ahli kariah Masjid Tok Lebai Hashim, Bukit Mertajam, Pulau Pinang di bawah program Econsave Prihatin sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM:  “Selalunya walaupun cuma sambutan Raya Haji (Aidiladha), kami akan buat persiapan juga walaupun tak banyak. Tapi, sejak tahun lepas, kami sambut ala kadar sahaja sebab Covid-19.” 

Itu kata Rohayu Othman, 46, salah seorang daripada ahli kariah Masjid Tok Lebai Hashim di sini kepada Utusan Malaysia ketika ditanya mengenai persiapan rayanya pada kali ini. 

Menurut Rohayu, sebagai pembantu kantin, dia sangat terkesan kerana tidak lagi mempunyai pendapatan seperti dahulu walaupun menerima gaji secara harian. 

“Tapi, saya tetap bersyukur kerana rezeki sentiasa tidak putus untuk keluarga saya walaupun ketika PKP,” kata wanita itu. 

Rohayu ditemui ketika hadir menemani ibunya, Fatimah Abu Bakar, 70, semasa menerima bantuan di bawah program Econsave Prihatin yang disampaikan pengurus cawangan Econsave Alma, G. Thiyagarajan. 

Selain Rohayu dan ibunya yang menerima bantuan untuk dua keluarga berasingan, turut menerima bantuan yang sama iaitu berupa barangan keperluan harian ialah hampir 30 ahli kariah Masjid Tok Lebai Hashim. 

Dalam pada itu, Setiausaha Masjid Tok Lebai Hashim, Zulkifli Mohd. Zain berterima kasih kepada pengurusan Econsave Alma kerana memberikan maklum balas yang pantas susulan penyerahan surat memohon sumbangan sempena Aidiladha yang dihantar mereka sejak beberapa hari lalu. 

Katanya, pihak pengurusan masjid juga terharu dengan kesanggupan pengurusan pasar raya berkenaan menyediakan sumbangan barangan keperluan untuk ahli kariah masjid mereka. 

“Alhamdulillah, sumbangan ini diharap dapat membantu ahli kariah yang terkesan dalam melakukan persiapan akhir menjelang Aidiladha esok,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN