KUALA LUMPUR: Tiga beradik warga emas yang uzur kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan Baitulmal dalam mengharungi sisa-sisa kehidupan.
Johari Mohd Sedek, 59, yang merupakan bongsu dari tiga beradik itu berkata, mereka juga berteduh di sebuah rumah usang yang sering dinaiki air jika hujan selama kira-kira sejam.
Katanya, perkara tersebut amat membebankan apabila dia terpaksa mengemas dan membersihkan rumah seorang diri berikutan kakak sulungnya menghidap kanser limfoma dan kanser usus manakala abang ketiganya pula menghidap cerebral palsy.
“Sekarang, memang hanya mengharapkan bantuan baitulmal abang yang berjumlah RM500 sebulan sahaja, tetapi makan tak kisah sangat, banjir itu yang tidak boleh tahan.
“Sesekali kalau banjir kita reda, tetapi sudah banyak kali, bahkan pada bulan puasa lepas sahaja, rumah dinaiki air sebanyak 13 kali.
“Jika dahulu masa kecil bolehlah hadap, tetapi sekarang kudrat pun tak berapa ada. Kaki dan tangan juga tidak berapa kuat selepas kemalangan dua tahun lalu,” katanya yang juga mempunyai penyakit darah tinggi.
Ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Bukit Mewah, Cheras Baru, Johari berkata, masalah tersebut sudah diadukan kepada pihak berwajib, namun masih belum ada tindakan yang diambil bagi mengatasi perkara berkenaan.
“Kadangkala, jika banjir, kami menelefon polis untuk datang membantu. Namun, sampai bila hendak mengharapkan polis,” katanya.
Dalam pada itu, kakak sulungnya, Rusnah Muhd Sedek, 70, berkata, dia dan adik ketiganya tidak dapat berbuat apa-apa jika rumah dinaiki air berikutan batas pergerakan serta masalah kesihatan mereka yang terbatas.
“Apabila rumah dinaiki air, bukan sahaja air, malah, binatang berbisa seperti ular turut masuk ke dalam rumah dan itu yang membimbangkan.
“Sesekali itu ada juga pak teh (adik ketiga) tolong yang bongsu, tetapi hanya boleh tolong sikit-sikit sahaja,” katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk, Tan Sri Ahmad Zaki Ansore Mohd. Yusof, 64, berkata, pihaknya tidak mengharapkan simpati bagi keadaan tiga beradik warga emas tersebut.
“Kita hanya mengharapkan masalah banjir itu dapat diatasi bagi memudahkan kehidupan mereka dalam keadaan yang terbatas.
“Apabila hujan lebat menyebabkan air turun laju dari Lorong A9 di belakang rumah. Sistem perparitan yang tidak menampung membolehkan air naik ke rumah penduduk.
“Memang penduduk lain juga alami perkara yang sama, tetapi kasihan lah kepada tiga beradik ini yang ada masalah kesihatan ,” katanya. -UTUSAN










