Keluhan pengusaha madu tiada sambutan - Utusan Malaysia

Keluhan pengusaha madu tiada sambutan

MASRI Muhamad menunjukkan madu lebah Tualang yang siap diisi ke dalam botol untuk dijual di Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Memanjat pokok tualang setinggi 70 hingga 80 meter untuk mencari madu lebah bukanlah mudah, malah ibarat ‘bergadai nyawa’ untuk menyiapkan tugas hampir lima jam itu.

Kerja yang dilakukan pada waktu malam itu sudah menjadi kelaziman bagi penduduk di Hulu Tembeling di sini, ibarat ‘alah bisa tegal biasa’ demi mencari rezeki di kawasan pedalaman.

Namun, sejak pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan penjual madu lebah mengeluh kerana manisan itu tidak dapat dihantar ke pasaran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penjual madu lebah Tualang di Hulu Tembe­ling, dekat sini, Masri Muhamad, 38, berkata, dia begitu sukar untuk mendapatkan pelanggan.

“Sejak penguatkuasaan PKP awal tahun ini malah sebelum ini pun, saya tidak mampu membawa keluar madu lebah tualang untuk dijual di bandar Jerantut atau luar daerah ekoran larangan rentas daerah dan jarak kampung ini agak jauh ke bandar.

“Sebelum ini, madu lebah tua­lang amat laris walaupun agak mahal kerana manisan dihasilkan lebah liar hutan Taman Negara dan Hulu Tembeling cukup berkualiti serta sangat popular dalam kalangan orang luar untuk tujuan kesihatan dan perubatan,” katanya di Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling di sini semalam.

Menurut Masri, sebelum PKP sejak tahun lalu, madu lebah tualang memang mampu terjual dalam kalangan pengunjung luar daerah dan negeri yang datang ke pusat peranginan Kampung Kuala Sat membelinya dijadikan ‘ole-ole’ dibawa pulang ke rumah.

“Ketika ini ketiadaan pengunjung, madu lebah ini tersimpan dalam almari kerana tidak laku dipasarkan keluar atau pun di kampung ini kerana masing-masing (penduduk) mempunyai madu lebah malah kebanyakan mereka juga merupakan pencari manisan ini di pokok tualang yang banyak terdapat di hutan tropika berdekatan kampung ini.

“Sekiranya, ada orang luar membuat tempahan secara penghantaran atau pos dan pesanan makanan secara tunai (COD) pun tidak berbaloi kerana saya terpaksa keluar ke bandar Jerantut terlebih dahulu yang terletak 100 kilometer kampung ini,” katanya.

Bercerita tentang kerja mencari madu Tualang Masri yang juga antara pengusaha bot penambang di pusat peranginan Kampung Kuala Sat berkata, kebiasaannya dia menemukan antara dua hingga tiga sarang lebah di sebatang pokok tua­lang dan memperoleh manisan dalam anggaran seberat kira-kira 30 kilogram.

“Saya memproses manisan ini dengan cermat untuk diisi ke dalam botol dan dijual dengan harga RM100 seberat 450 gram,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan madu lebah asli Tua­lang Hulu Tembeling boleh menghubungi Masri Muhamad menerusi talian 019-203 5972.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN