ALOR SETAR: Seramai 13 orang doktor kontrak yang mewakili 200 pegawai perubatan kontrak lain di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan Hospital Alor Setar melakukan protes Hartal Doktor Kontrak di pekarangan hospital itu, hari ini.
Wakil jurucakap pegawai perubatan kontrak, Dr. Ikbal Baharudin berkata, protes tersebut dilakukan kerana masih tiada persetujuan dicapai dalam menentukan nasib doktor-doktor yang masih berstatus kontrak.
“Kami juga tidak mendapat kelebihan seperti perjawatan tetap selain kami juga tidak boleh melanjutkan pelajaran untuk menjadi doktor pakar,” katanya ketika ditemui di pekarangan HSB di sini hari ini.
Menurutnya, protes ini dilakukan oleh doktor-doktor yang tidak bertugas dan jika dipanggil, mereka perlu terus sambung bekerja.
“Kami masih bertanggungjawab dengan pekerjaan kami dan tidak akan meninggalkan pesakit atau tugas yang sedang dilakukan,” katanya.
Jelasnya, mereka berharap hasil hartal ini akan memberi harapan dan peluang baharu buat pegawai perubatan kontrak ini.
“Walaupun Perdana Menteri sudah mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung isu tersebut sejak lima tahun lalu sehingga hari ini, namun, masih tiada keputusan ‘hitam putih’ yang kami terima.
“Kami harap ada tindakan rasmi daripada pihak kerajaan untuk jangka masa pendek atau panjang dan perancangan yang baik untuk kami,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, polis melakukan pemantauan pada sepanjang protes tersebut berjalan dan pihaknya tidak melakukan tangkapan.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pula mendapati tiada doktor kontrak yang melakukan protes tersebut.
Tinjauan yang dilakukan pada pukul 11 pagi hari ini mendapati ruang legar dan beberapa kawasan di HSAH kelihatan tenang. -UTUSAN ONLINE










