Vaksinasi kanak-kanak perlu segera - Utusan Malaysia

Vaksinasi kanak-kanak perlu segera

RINA Mohd. Harun (dua dari kiri) menyampaikan kit aktiviti kanak-kanak ketika membuat tinjauan di PKRC MITC, Ayer Keroh , Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggesa kajian penggunaan vaksin kepada kanak-kanak dipercepatkan memandangkan jumlah jangkitan golongan itu kini mencecah lebih 82,000 kes.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, berdasarkan laporan terkini sehingga 30 Mei lalu, seramai 82,341 kanak-kanak serta bayi telah disahkan positif Covid-19 dengan 27,402 daripadanya adalah mereka yang berusia tujuh hingga 12 tahun.

“Seramai 19,851 pesakit kanak-kanak pula berusia empat tahun ke bawah, manakala 8,237 berusia lima hingga enam tahun dan 26,851 berusia tujuh hingga 12 tahun.

“Angka ini sangat membimbangkan dan saya menggesa agar kajian yang sedang dilaksanakan dipercepatkan demi nyawa dan keselamatan anak-anak serta mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan di Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut memberikan contoh negara-negara luar yang mulai memberikan vaksin kepada kanak-kanak termasuk Amerika Syarikat (AS) dengan kira-kira 60,000 telah disuntik.

“Kita melihat negara-negara lain telah mula memberikan suntikan vaksin kepada kanak-kanak, termasuklah AS dan paling hampir, Singapura.

“Saya juga telah berhubung dengan kementerian berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam usaha membantu memastikan pemberikan vaksin kepada golongan ini dapat disegerakan,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun kini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) memberikan fokus kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU), namun pihaknya berharap golongan kanak-kanak turut diberikan keutamaan dalam fasa suntikan seterusnya.

Dalam pada itu, Rina turut mencadangkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dapat memperbanyakan rancangan khas yang bermanfaat untuk kanak-kanak di televisyen sepanjang sekatan pergerakan penuh.

“Kanak-kanak ini sedang membesar dan apabila mereka terpaksa berkurung di dalam rumah, mereka perlukan aktiviti-aktiviti ceria, jadi saya cadang agar program-program khas untuk mereka dapat ditambah di kaca televisyen.

“Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam menambahkan pengetahuan mereka sepanjang tempoh pandemik ini, terutama dalam mematuhi prosedur operasi standard dan penjagaan kebersihan diri,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN