SEREMBAN: U.n.i Klinik Forest Heights, yang terletak di Taman Tan Chee Hoe, Jalan Forest Heights di sini menjadi klinik pertama di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dipilih sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini.
Pengarah MARA Negeri Sembilan, Mimi Mazlin Mohamad Yusof, berkata, seramai 24 orang telah menerima vaksin di klinik itu sehingga hari ini selepas ia mula beroperasi sebagai PPV pada 22 Jun lalu.
“Klinik ini merupakan antara tiga U.n.i Klinik terdapat di negeri ini. Dua buah lagi terletak di Bandar Sri Sendayan dan Bandar Ainsdale.
“U.n.i Klinik di Bandar Ainsdale kini dalam proses menunggu kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan untuk dijadikan sebagai salah satu PPV di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di U.n.i Klinik Seremban dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya, U.n.i Klinik turut terlibat dalam program pemberian vaksin di PPV Pusat Dagangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLWTC).
“Ketiga-tiga U.n.i Klinik di Negeri Sembilan telah bergabung bersama 28 U.n.i Klinik dari negeri lain bagi proses pemberian vaksin di PPV KLWTC Kuala Lumpur bermula Mei lalu,” katanya.
Sementara itu, menurut Mimi Mazlin, program U.n.i Klinik merupakan di Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) Mara sebagai inisiatif melahirkan usahawan bumiputera dalam bidang profesional seperti perubatan untuk menceburi perniagaan.
“Doktor yang menguruskan klinik ini adalah mereka yang mempunyai kelayakan diiktiraf selain mempunyai pengalaman sama ada berkhidmat di klinik kerajaan, klinik swasta atau terlibat dalam keusahawanan klinik.
“Mereka juga perlu menjalani program latihan pembangunan keusahawanan selama tiga minggu dan setelah selesai mereka boleh memohon dana permulaan perniagaan untuk membuka klinik daripada Mara sebanyak RM300,000,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE










