Tuduhan Takiyuddin derhaka agenda pecahkan Melayu - Utusan Malaysia

Tuduhan Takiyuddin derhaka agenda pecahkan Melayu

RAZMAN ZAKARIA menyampaikan sumbangan keperluan makanan kepada penduduk tiga buah kampung di Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Tindakan DAP menuduh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai derhaka kepada institusi beraja dianggap agenda parti pembangkang itu untuk memecah-belahkan perpaduan Melayu.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendesak Takiyuddin dipecat daripada jawatannya kerana ‘derhaka’ secara terbuka terhadap institusi beraja mempunyai maksud yang tersirat.

“Kenyataan Guan Eng itu bertujuan membentuk minda rakyat bagi menggambarkan Takiyuddin derhaka sedangkan kenyataan Takiyuddin hanya menempelak pihak yang terlalu mendesak Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan agar Parlimen segera dibuka.

“Sebenarnya mereka mahu melaksanakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat bukannya membincangkan isu rakyat khususnya berkaitan Covid-19,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan keperluan makanan seperti ayam, labu manis dan limau kepada penduduk di Kampung Alor Setanggok, Kampung Tua dan Kampung Tebuk Matau di sini hari ini.

Razman berkata, parti pembangkang itu cuba memanipulasi keadaan dengan memutar-belitkan maksud sebenar yang cuba disampaikan oleh Takiyuddin.

Katanya, ini bagi meracuni fikiran orang Melayu agar sentiasa berada di dalam keadaan berpecah-belah.

“Kita nak ingatkan orang Melayu yang masih leka agar jangan jadi barua DAP bagi menjayakan matlamat dan kehendak mereka untuk kembali berkuasa.

“Jangan jadi tali barut kerana kepentingan yang sedikit namun bakal memusnahkan negara,” katanya.

Sebelum ini, Guan Eng mendesak Takiyuddin dipecat kerana ‘derhaka’ kepada institusi beraja selepas beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hanya menitahkan agar Parlimen segera bersidang tanpa menetapkan tarikh yang tepat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya