KEPALA BATAS: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican secara peribadi memberi gambaran pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim merupakan individu paling layak menggalas tanggungjawab menguruskan skuad bola sepak kebangsaan.
Menurut Reezal Merican, perkara itu berdasarkan bukti kejayaan yang ditunjukkan Tengku Mahkota Johor (TMJ) ketika ini.
Jelasnya, Tunku Ismail bukan sahaja mempunyai keinginan tinggi untuk melihat sukan tersebut berjaya, malah tidak lokek membuat pelaburan besar bagi tujuan itu seperti yang dilakukan terhadap JDT ketika ini.
“Orang kita (rakyat Malaysia) jika tengok bola, biasanya mereka akan lihat kepada dua benda iaitu yang pertama adalah keputusan (perlawanan), semua mahu menang.
“Kedua, mereka tengok aksi yang mana jika kalah sekalipun, mereka akan terus bagi sokongan jika aksi yang dipamerkan itu baik dan dalam hal ini, saya melihat rekod yang dimiliki oleh TMJ adalah bukti terbaik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Reezal Merican, beliau bagaimanapun menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membuat penilaian terbaik dalam memutuskan perkara itu.
Dalam perkembangan berasingan beliau berkata, pihaknya bersedia mengadakan perbincangan lanjut dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan atlet daripada sukan permotoran juga mendapat kemudahan latihan sama seperti atlet lain.
Katanya, pihaknya mengakui sumbangan yang dicurahkan oleh sukan permotoran termasuk negara dan tidak akan mengabaikan permintaan tersebut begitu sahaja.
“Bagi atlet sukan permotoran khususnya yang baru pulang dari luar negara, kita juga akan cari kaedah atau modul yang sama seperti sukan lain (berdekatan dengan lokasi latihan).
“Sebagai contoh, mungkin lokasi (kuarantin) itu berdekatan dengan SIC (Litar Antarabangsa Sepang) dan sebagainya,” katanya.
Pengurus SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin sebelum ini mengharapkan atlet permotoran diberikan kemudahan latihan ketika berada dalam tempoh kuarantin wajib selama 14 hari sekali gus membolehkan mereka mengekalkan momentum prestasi berbanding hanya ‘terperap’ di hotel.
Ketika ini, Kompleks Sukan Kampung Pandan digunakan sebagai pusat kuarantin utama bagi atlet negara yang pulang dari luar negara. – UTUSAN ONLINE