Tiga PPV di pedalaman, manfaat lebih 1,000 penduduk Hulu Tembeling - Utusan Malaysia

Tiga PPV di pedalaman, manfaat lebih 1,000 penduduk Hulu Tembeling

NAZRI Ngah (berdiri, kiri) beramah mesra dengan penduduk yang menunggu suntikan vaksin di Dewan Sekolah Kebangsaan Hulu Tembeling, Jerantut. - HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Tiga buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka di kawasan pedalaman Hulu Tembeling daerah ini bagi kemudahan lebih 1,000 penduduk menerima suntikan vaksin.

PPV berkenaan, iaitu di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Tembeling untuk pemberian vaksin kepada penduduk Kampung Bantal, Kampung Kuala Sat dan Kampung Bukit Mat Daling dan Klinik Kampung Gusai untuk aktiviti vaksinasi bagi penduduk Kampung Gusai, manakala balai raya Kampung Sungai Kucing untuk penduduk Orang Asli di situ.

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, usaha kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan menyediakan kemudahan PPV di kawasan pedalaman Hulu Tembeling supaya dapat meringankan kos penduduk kampung terpencil berulang alik ke bandar Jerantut.

“Kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan amat cakna serta mengambil kira kebajikan penduduk dengan mengurangkan beban belanja tambang bot penambang dan menyewa kenderaan pacuan empat roda untuk ke pusat kesihatan di bandar Jerantut dan klinik kesihatan di luar memandangkan jarak perjalanan hampir 130 kilometer dari kawan pedalaman ini.

NAZRI Ngah (berdiri, kanan) dan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (kiri) memantau serta beramah mesra dengan bariusan hadapan dan penduduk di PPV SK Hulu
Tembeling, Jerantut. – HARIS FADILAH AHMAD

“Pembukaan tiga buah PPV di Hulu Tembeling antara usaha terbaik menyelesaikan program vaksinasi penduduk di lima buah kampung pedalaman bagi membantu kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 80 peratus imuniti kelompok menjelang bulan Ogos ini,” katanya di Kampung Bantal, Hulu Tembeling dekat sini.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Bantal, Hamdan Ali.

NAZRI Ngah (berdiri, 2 dari kiri) melihat seorang penduduk menerima suntikan
vaksin di PPV SK Hulu Tembeling, Jerantut. – HARIS FADILAH AHMAD

Sementara itu, Mohd Zakhwan berkata, program vaksinasi di pedalaman Hulu Tembeling selama tiga hari telah mencapai 90 peratus, iaitu lebih 1,000 orang penduduk telah melaksanakan tanggungjawab kesihatan dengan mengambil suntikan vaksin dos pertama.

“Sehingga ini, sambutan penduduk sangat menggalakkan khususnya golongan warga emas dan penduduk Orang Asli Sungai Kucing menyahut seruan kerajaan untuk mencegah jangkitan  Covid-19 sekali gus mempercepatkan bagi memutuskan rantaian wabak,
tersebut,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN