ARAU: Penubuhan kerajaan baharu dilihat sukar berlaku sebaliknya pertemuan ketua-ketua parti politik dengan Yang di-Pertuan Agong berkemungkinan bagi mendengar pandangan semua pihak dalam menangani pandemik Covid-19 dan cabaran ekonomi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, semua ahli politik serta ahli-ahli Parlimen perlu mengetepikan fahaman politik, seterusnya berganding bahu dalam menghadapi situasi yang penuh mencabar ketika ini.
Katanya, oleh yang demikian, kerajaan perlu segera menamatkan darurat atau tidak mengambil keputusan melanjutkannya selain perlu membenarkan Parlimen kembali bersidang.
“Semua pihak perlu berjiwa besar dalam menghadapi pandemik Covid-19 dan cabaran ekonomi ketika ini. Malah jika perlu dilakukan rombakan Kabinet atau melantik mana-mana pemimpin yang berkelayakan daripada pelbagai parti politik, ia juga boleh dipertimbangkan dalam suasana ketika ini.
“Semua pihak perlu berganding bahu dan tidak salah untuk mendengar pandangan daripada pemimpin atau ahli Parlimen parti pembangkang untuk kebaikan negara.
Sekarang bukan masa lagi untuk berpolitik sebaliknya perlu memikirkan isu yang lebih penting iaitu kesihatan dan ekonomi,” katanya.
Semalam beberapa ketua parti politik menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Seri Paduka untuk mesyuarat pra-Kabinet.
Pertemuan tersebut dijangka berlanjutan sehingga Jumaat ini melibatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selain pemimpin UMNO.
Ia berlaku ketika negara terus berdepan ancaman Covid-19 dan darurat masih berkuat kuasa di sebalik pelbagai desakan agar ia ditamatkan, atau Parlimen dibuka untuk bersidang.
Mengulas mengenai gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Proklamasi Darurat didakwa tidak wajar dilanjut malah perlu segera ditamatkan, Rusdi berkata, pelaksanaan darurat dilihat tidak membantu menyelesaikan penularan Covid-19 sebaliknya ia semakin parah.
Justeru, katanya, tiada keperluan darurat dilanjutkan sebaliknya kerajaan perlu fokus seperti biasa dalam menangani isu Covid-19 termasuk mempercepatkan pemberian vaksin yang dilihat antara langkah paling berkesan.
“Pelaksanaan darurat dilihat menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara selain persepsi negatif negara luar. Malah, pelabur-pelabur juga tidak datang, kerana pelaksanaan darurat itu sendiri telah mengundang persepsi negatif kepada negara.
“Saya lihat tidak perlu sambung darurat, cukuplah dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini. Kerajaan perlu kembali kepada biasa dan bersungguh-sungguh menangani pandemik Covid-19 tanpa perlu melaksanakan darurat.
“Dalam masa sama, Parlimen pula perlu segera dibuka. Kalau tidak boleh buka boleh diadakan secara dalam talian. Peranan Parlimen sangat penting untuk ahli-ahli Parlimen membawa isu rakyat khususnya dalam tempoh pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN











