Tengku Hassanal titah pertahan Tasik Chini - Utusan Malaysia

Tengku Hassanal titah pertahan Tasik Chini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan Pahang bersama kerajaan Pusat supaya mempertahankan pengiktifaran bertaraf dunia Tasik Chini sebagai permata alam sekitar di negeri ini dan Tapak Rezab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO) yang pertama di negara ini.

Dalam kenyataannya kepada pemberita, Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab. Rahman berkata, Tengku Hassanal mengambil berat dan sentiasa memantau usaha kerajaan negeri memastikan alam sekitar di Pahang sentiasa terjaga.

Menurutnya, baginda juga menyeru agar semua pihak untuk sentiasa mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan urus tadbir yang baik supaya khazanah alam hari ini akan terus kekal dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

“Baginda menyarankan agar aktiviti perlombongan di Tasik Chini dihentikan dan menitahkan agar kawasan bekas lombong di Tasik Chini dipulihkan semula dengan penanaman pokok hutan yang bersesuaian.

“Pemangku Raja Pahang juga menitahkan agar meluaskan lagi kawasan Hutan Simpan Chini yang sedia ada seluas 4,600 hektar (ha) kepada kira-kira 6,000 hingga 7,000  ha bagi menjaga kepentingan flora dan fauna di kawasan itu dan sekitarnya.

“Baginda juga menitahkan agar Tasik Chini yang diberi status Tapak Rezab Biosfera UNESCO dapat diberi keutamaan dari sudut peruntukan kewangan dan pembangunan yang lestari oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Alam Sekitar dan Air,” kata kenyataan itu di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Khirrizal berkata, Tengku Hassanal turut menitahkan supaya menggiatkan lagi aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan Tasik Chini yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Pusat.

“Baginda juga menitahkan supaya aktiviti penguatkuasaan diperkasakan dan dilaksanakan secara bersepadu dan berkala melibatkan agensi penguatkuasaan negeri serta Pusat,” katanya.

Beliau berkata, meneliti laporan dan gambar yang tular di media sosial tentang aktiviti perlombongan di Tasik Chini, Pemangku Raja Pahang mengadakan lawatan tapak mengejut pada 13 Jun lalu di kawasan itu.

Jelasnya, Tengku Hassanal telah meneliti laporan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail  berhubung kegiatan perlombongan di Tasik Chini serta tindakan pemulihan dan pemuliharaan yang telah dijalankan oleh kerajaan negeri.

“Baginda bersetuju dengan langkah kerajaan negeri yang tidak lagi mengeluarkan sebarang kelulusan baharu sejak 2019,” katanya.

Menurutnya, Pemangku Raja Pahang bertitah menjadi tanggungjawab semua pihak tanpa mengira latar belakang sama ada pihak kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk penduduk setempat untuk sama-sama menjaga Tasik Chini agar keindahan flora dan fauna serta penempatan masyarakat Orang Asli berhampiran kawasan itu terpelihara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya