Tempoh darurat tentukan hala tuju politik negara - Utusan Malaysia

Tempoh darurat tentukan hala tuju politik negara

MAZLAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbincangan khas antara Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu hari ini dilihat akan menentukan hala tuju politik negara selepas ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berkata, ini kerana parti-parti politik masih bergelut mencari titik persamaan antara satu sama lain dengan hasrat dapat membentuk jajaran baharu.

Namun, katanya, tiada satu parti pun yang dapat membuat keputusan yang muktamad untuk bekerjasama dengan satu sama lain ketika ini, selagi belum ada keputusan sama ada darurat akan dilanjutkan atau tidak.

“Terdapat banyak perbezaan dan salah faham antara parti baik pembangkang mahupun parti kerajaan, sehingga ada menteri mengkritik kerajaannya sendiri. Semua ini kerana impak penjajaran politik seperti spekulasi kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan UMNO, ini ada yang nak bekerjasama ada yang tidak, ia jadi kelam-kabut dan timbulkan masalah.

“Tetapi hala tuju negara akan menjadi lebih jelas apabila Agong membuat keputusan nanti, sama ada terus memberikan mandat kepada Perikatan Nasional (PN), dengan melanjutkan darurat atau tubuhkan majlis khas seperti dicadangkan Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mazlan juga menyifatkan, sebaik sahaja keputusan dibuat, barulah parti dan gabungan politik boleh membuat keputusan seterusnya.

“Jika Agong buat keputusan, senario politik akan berubah, Parlimen dibuka, UMNO mungkin buat keputusan besar keluar dari PN, jadi akan ada aliran penjajaran baharu,” katanya.

Sebab itu, katanya, walaupun parti-parti politik nampak seperti sedang bersengketa antara satu sama lain tetapi sebenarnya mereka cuba kenal-mengenal antara satu sama lain sebelum penjajaran baharu dipersetujui.

“Jadi kalau ada perbezaan pendapat, itu hanya pandangan peribadi dan bukan pendirian parti secara keseluruhan. Seperti UMNO, ada yang nak terus bekerjasama dengan PN, ada yang tidak.

“Mereka sedang test market. Saling kenal-mengenal dengan parti lawan, sama ada sesuai atau tidak untuk bekerjasama, demi kepentingan politik masing-masing. Situasi politik menjadi begitu terbuka ketika ini,” katanya.

Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain

Sementara itu, Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Parlimen perlu bersidang kembali supaya semua pihak dapat bersama-sama menjaga amanah yang diberikan.

Katanya, darurat yang diproklamasikan pada 11 Januari lalu tidak menggantung Parlimen dan ketiadaan sidang dilihat punca sebenar polemik pada hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN