PETALING JAYA : Tindakan sembilan wanita warga asing menawarkan kegiatan pelacuran dalam laman sosial mengundang padah apabila mereka akhirnya ditahan.
Menerusi operasi yang dilakukan kira-kira pukul 2 hingga 6.30 petang oleh pasukan Jabatan Siasatan jenayah, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi itu, sebanyak enam kondominium di Jalan Sultan Ismail, dekat sini diserbu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua mereka yang ditahan masing-masing terdiri dua wanita dari Uzbekistan, Filipina dan Belarus.
Diikuti masing-masing seorang wanita dari Rusia, Iran dan Ukraine.
Kata beliau, hasil pemeriksaan di dalam bilik kondominium tersebut, sebanyak 26 keping kondom telah dirampas, selain telefon bimbit pelbagai jenama (13 buah) masing- masing lima alat mainan seks dan minyak pelincir pelbagai jenama, kad akses (7) dan mata wang asing AS$ 1,900 dan wang tunai RM31,513
“Aktiviti pelacuran ini dikesan dijalankan secara sendirian dan modus operandi mereka adalah memasarkan kegiatan itu dalam laman sosial dan menyasarkan lelaki hidung belang yang mempunyai duit.
“Hasil aktiviti ini juga, mereka mampu meraih bayaran harian antara RM 3,000 sehingga RM6,000 sehari yang mana setiap pelanggan akan dikenakan bayaran RM1,000 untuk setiap 1 jam perkhidmatan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Mohamad Zainal, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan terdapat individu daripada kalangan orang kenamaan menjadi pelanggan mereka, namun, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung perkara itu.
“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 372 B Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1859 dan 1963.
“Justeru, PDRM memohon kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti pelacuran di kawasan sekitar dan mereka boleh menghubungi talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE