Tafsiran Perlembagaan perlu dirujuk ke mahkamah - Utusan Malaysia

Tafsiran Perlembagaan perlu dirujuk ke mahkamah

TAFSIRAN undang-undang oleh mahkamah akan diterima oleh semua pihak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pertikaian tafsiran undang-undang Perkara 40 dan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan perlu dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul antara kedua-dua peruntukan tersebut.

Meskipun Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menjelaskan bahawa Kabinet perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Sidang Parlimen seperti yang dinyatakan dalam Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan, tetapi masih terdapat kekeliruan berhubung pemakaiannya ketika pelaksana­an darurat seperti dijelaskan dalam Perkara 150.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memaklumkan, jika melihat Seksyen 14 (1) (a) dan (1) (b) Ordinan Darurat 2021, ia tidak menyebut secara langsung ber­kenaan nasihat Jemaah Menteri kepada Seri Paduka untuk memanggil persidangan Parlimen.

“Walaupun Peguam Negara menjelaskan subseksyen 14(1) Ordinan Darurat perlu dibaca bersama peruntukan lain dalam Ordinan Darurat seperti Seksyen 17 dan 18, namun terdapat kekeliruan yang timbul menerusi klausa ayat digunakan menerusi kedua-dua seksyen ini.

“Jadi, daripada terus menjadi polemik orang ramai, perkara itu perlu dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan. Namun ia bukan bermaksud untuk mencabar Ordinan Darurat, tetapi untuk menjelaskan segala kekeliruan yang berlaku sama ada Perkara 40 masih terpakai ketika tempoh darurat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Idrus sebelum ini menjelaskan Perlembagaan Persekutuan menetapkan Jemaah Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Sidang Parlimen selaras menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan dengan Seri Paduka hendaklah me­nerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan pelbagai pihak kebelakangan ini memberikan pandangan mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang dan kewajipan Seri Paduka bertindak atas nasihat Jemaah Menteri seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Pelbagai pihak sebelum ini memberikan pandangan bahawa Agong boleh memanggil Parlimen bersidang tanpa nasihat Kabinet kerana Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai sepanjang darurat seperti mana termaktub dalam Perkara 150.

Dalam pada itu, pakar perlembagaan, Datuk Salleh Buang berpandangan, kenyataan terbaharu Peguam Negara itu ha­nya mengikat kementerian dan jabatan kerajaan namun tidak untuk rakyat biasa. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN