Suntikan vaksin kepada pengamal media dipercepatkan - Saifuddin - Utusan Malaysia

Suntikan vaksin kepada pengamal media dipercepatkan – Saifuddin

SAIFUDDIN Abdullah (kanan) bersama Adham Baba (kiri) beramah mesra dengan pengamal media yang menerima vaksin ketika tinjauan kumpulan pertama pengamal media yang menerima pemberian vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Seri Seroja, Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Agihan vaksin Covid-19 kepada pengamal media di seluruh negara akan diberikan secepat mungkin.

Jaminan itu diberikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah selepas meninjau proses pemberian vaksin Covid-19 kepada kumpulan pertama pengamal media di sini, hari ini.

Turut sama pada tinjauan itu adalah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Saifuddin berkata, beliau sudah memaklumkan hasrat untuk mempercepatkan agihan vaksin itu kepada Adham dan Khairy Jamaluddin.

“Mereka (Adham dan Khairy) memahami keperluan kita walaupun tumpuan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ketika ini kepada warga emas, pesakit kritikal dan orang kelainan upaya (OKU).

“Hari ini, seramai 98 pengamal media membabitkan wartawan, jurukamera dan pengurusan kanan agensi dan portal berita menerima dos pertama mereka,” katanya.

Saifuddin berkata, ia kemudian akan diikuti kumpulan pengamal media lain yang berada di setiap negeri dalam masa terdekat.

Saifuddin berkata, beliau menasihatkan pengamal media supaya mendaftar segera di aplikasi MySejahtera bagi memudahkan janji temu diberikan.

“Saya berharap usaha ini dapat dipercepatkan kerana mereka juga sama seperti kumpulan barisan hadapan yang lain,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, beliau menerima lebih 4,000 senarai pengamal media bagi agihan vaksin berkenaan.

Dalam pada itu, Saifuddin juga akan meneliti kenyataan Kesatuan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) berhubung larangan liputan akhbar bagi pengamal media yang belum menerima vaksin.

“Saya sudah menerima salinan surat NUJM itu dan akan berbincang perkara itu dengan Khairy Jamaluddin dan Adham,” katanya.

Terdahulu, seramai 98 pengamal media terdiri daripada ahli Kelab Media Putrajaya (KMP) serta wakil daripada agensi dan portal berita di sekitar Lembah Klang masing-masing menerima dos pertama vaksin Covid-19 hari ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seroja di Presint 15, di sini.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN