PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai akan menyiasat pendedahan bekas Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Ahmad Nazlan Idris mengenai isu LGM Properties Corporation (LGM PC).
Difahamkan, setakat ini, SPRM ada menerima aduan mengenai isu tersebut.
Bagaimanapun, SPRM belum memanggil mana-mana individu berhubung perkara itu.
Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan pengesahan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki tidak berjaya.
Semalam, Ahmad Nazlan bersedia disiasat SPRM berhubung isu yang tular dalam media sosial beberapa hari lalu termasuk desakan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Beberapa hari lalu tular di media sosial yang membangkitkan isu penjualan dan pajakan tanah perdana LGM di bawah harga pasaran malahan beliau telah diminta memberi penjelasan.
Ahmad Nazlan yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, beliau tampil memberikan penjelasan semalam kerana namanya telah dikaitkan sebagai Pengerusi LGM dalam isu LGMPC berkenaan.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak lagi menjadi Pengerusi LGM setelah ditamatkan kontrak pada 14 April yang lalu.
“Dalam isu LGMPC, saya tidak terlibat dan saya sahkan Ahli Lembaga Pengarah LGM amat mengambil berat serta cakna dengan kegagalan tadbir urus LGMPC,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perkhidmatan Parlimen Jerantut semalam.
Menurut Ahmad Nazlan, satu jawatankuasa ditubuhkan dan tindakan serta langkah penambahbaikan telah dibuat oleh LGM sebelum ini, namun menteri berkenaan campur tangan dan membiarkan LGMPC berjalan seperti biasa.
“Dalam isu sewaan tanah 70 sen sekaki, LGM hanya bersetuju untuk pajakan lima tahun dan ditambah 10 tahun. Namun menteri berkenaan mahukan lima + 10 + 10 menjadikan 25 tahun.
“Hasil yang diperoleh oleh LGM selepas 25 tahun melebihi RM1 bilion sekiranya diuruskan dengan cara yang lebih baik berbanding dengan hasil sewaan cuma RM42 juta sahaja kepada syarikat milik rakyat Turki berkenaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE










