SKMM wujudkan platform tunggal PUDO - Utusan Malaysia

SKMM wujudkan platform tunggal PUDO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melaksanakan beberapa inisiatif dalam usahanya untuk mempertingkatkan Pusat Pungutan dan Serahan (PUDO) di seluruh negara sekali gus memberikan kualiti perkhidmatan (QoS) dan pengalaman (QoE) lebih baik kepada pengguna serta menjana pertumbuhan sektor e-dagang.

SKMM dalam kenyataan berkata, menerusi pengumuman di bawah Pakej Accelerator Kurier Negara (PAKEJ), ia akan memberi tumpuan kepada pengenalan lebih banyak PUDO bebas, perkongsian aset antara syarikat kurier.

Katanya, SKMM juga kini sedang mewujudkan sebuah platform tunggal untuk titik serahan setempat PUDO yang akan dianggotai pelbagai pemain industri dengan pelaksanaannya dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan pengumpulan semua titik serahan setempat PUDO oleh pelbagai syarikat di bawah satu bumbung manakala fasa kedua pula menghubungkan platform tersebut dan diintegrasikan dengan e-pasaran.

“Pada masa sama, SKMM sedang meneroka potensi Pusat Internet Komuniti (PIK) untuk dijadikan sebagai titik serahan setempat PUDO di bawah inisiatif PUDO@PIK untuk kemudahan penduduk di kawasan luar bandar.

“Perancangan sedang berjalan bagi mendapatkan sokongan daripada pihak pemegang taruh dan mewujudkan satu peluang ekonomi kepada kedai-kedai runcit untuk menyertai rangkaian titik serahan setempat PUDO,” katanya di sini hari ini.

Bagi melancarkan perkhidmatan penghantaran ke bangunan tinggi, SKMM berkata, pihaknya mengenal pasti PUDO@bangunan tinggi sebagai strategi untuk tujuan itu dengan mewujudkan loker bungkusan di bangunan berkenaan.

Berkenaan dengan QoS pula, SKMM kini dalam proses menyediakan draf Garis Panduan Mengenai Amalan Terbaik Industri yang memberi penekanan kepada tiga aspek iaitu kualiti perkhidmatan, perlindungan serta skim liputan untuk bungkusan pengguna dan
pengenalan jaminan perkhidmatan.

“Dalam hal ini, SKMM telah selesai menjalankan sesi konsultasi dengan Persatuan Syarikat Penghantar Ekspres Malaysia (AMEC) dan Forum Pos, namun, masih perlu konsultasi dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain yang berkaitan,” katanya.

Katanya, kesemua inisiatif itu adalah penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan dan pengalaman kelas pertama kepada pengguna serta memperkemaskan integrasi sistem penyampaian hiliran. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN