JOHOR BAHRU: Kerajaan wajar mempercepat kelulusan penggunaan vaksin Covid-19 lain selain jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac bagi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara vaksin lain yang boleh dipertimbang termasuklah Sputnik V, Sinopharm, Moderna dan Johnson & Johnson.
Menurut beliau, inisiatif itu perlu bagi mempercepat proses vaksinasi nasional dalam usaha melawan penularan pandemik Covid-19 dengan secepat mungkin.
“Kebanyakan vaksin tersebut telah mendapat kelulusan agensi kawal selia antarabangsa dan telah melalui pelbagai skrutini klinikal yang sangat rumit dan komprehensif.
“Vaksin Sputnik V contohnya mempunyai keberkesanan tinggi dan datanya telah diterbitkan dalam Lancet, jurnal perubatan berwasit (rujukan menggunakan orang tengah) paling berwibawa yang hanya menerbitkan hasil penyelidikan unggul,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohamed Khaled, kerajaan tidak boleh terlalu optimistik bahawa bekalan vaksin yang dimiliki mencukupi..
“Langkah itu wajar setelah mengambil kira beberapa faktor antaranya untuk memastikan kita mempunyai akses kepada pelbagai vaksin jenis lain dalam waktu yang memerlukan.
“Kedua, ia akan mempercepat proses vaksinasi nasional manakala ketiga, kemunculan varian baru mungkin akan memerlukan Malaysia memberikan dos ketiga bagi merangsang imuniti.
“Keempat dan terakhir, perancangan kesihatan awam perlu mengambil kira pendekatan jangka masa panjang kerana banyak negara telah menempah bekalan untuk tempoh empat tahun akan datang,” ujarnya.
Sehubungan itu, ujar beliau, kerajaan mesti segera meluluskan secara bersyarat penggunaan beberapa vaksin lain tanpa berlengah.
“Ketelitian kita dalam memberikan kelulusan mesti seiring dengan kesegeraan yang sangat-sangat diperlukan oleh negara dalam saat kritikal ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE










