PETALING JAYA: “Saya belum berkahwin dan masih solo.
“Buat masa sekarang fokus saya hanya keluarga dan perniagaan Mawar Jewelry. Mengenai spekulasi lain saya enggan komen.”
Demikian kata selebriti dan usahawan tudung terkenal, Mawar Karim kepada Utusan Malaysia sambil menolak dakwaan dia sudah berkahwin dengan seorang menteri sebagaimana yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Mawar, 32, yang akhirnya membuka mulut menjawab tuduhan itu menjelaskan status dirinya masih lagi seorang ibu tunggal dan buat masa ini dia lebih sibuk menumpukan urusan perniagaannya sahaja.
Terdahulu tular maklumat dalam aplikasi WhatsApp berhubung Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali ditahan dalam satu sekatan jalan raya (SJR) Perasing di Kemaman, Terengganu pada 16 Mei lalu.
Melalui pesanan yang sama, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut didakwa bersama Mawar berada dalam kereta yang sama.
Mohd. Khairuddin sebelum ini turut menafikan mempunyai hubungan dengan selebriti yang dimaksudkan itu selain akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba menjatuhkan reputasinya. -UTUSAN










