Saksi dua kematian uji mental - Utusan Malaysia

Saksi dua kematian uji mental

APLI Yusoff bergambar bersama kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas dibenarkan keluar dan pulih daripada jangkitan Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Selama lapan hari ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, seorang pesakit Covid-19 pernah membayangkan pengakhiran hayatnya selepas menyaksikan dua individu maut berturut-turut di depan mata.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Apli Yusoff, 51, berkata, pengalaman melihat rakan yang baharu dikenali menghembuskan nafas terakhir cukup mendebarkan dan tentunya menguji mental serta fizikalnya dalam berjuang melawan Covid-19.

Katanya, kematian berlaku pada hari ketiga dan keempat dia dirawat di wad ICU yang menempatkan seramai lima pesakit tahap tiga dan empat itu.

“Macam-macam dalam fikiran saya pada masa itu terutama soal kematian, saya tengok bagaimana doktor dan jururawat bertungkus-lumus menyelamatkan pesakit termasuk turut membuat  panggilan video dengan keluarga di samping menunjukkan kaedah rawatan terakhir diberikan.

“Hati saya sayu mengenangkan pemergian pesakit tanpa insan tersayang di sisi dan saya juga tengok bagaimana jenazah diuruskan sebelum dibawa ke tanah perkuburan,” katanya di sini semalam.

Terdahulu Apli yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus ditempatkan di dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) iaitu di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) selama tujuh hari selepas disahkan positif pada 14 Mei lalu.

Menurutnya, sepanjang di ICU, selama lima hari dia memerlukan bantuan alat pernafasan, sekali gus bersyukur kerana kesihatannya makin pulih dan dibenarkan keluar hospital pada 28 Mei lalu bersama-sama dua rakan lain.

Katanya, pada hari pertama menerima rawatan, keadaannya cukup teruk dan kesan ubatan menyebabkan badannya menggigil teruk seharian hingga mengakibatkan katil turut bergegar.

“Saya tidak ada sejarah penyakit dan tidak tahu bagaimana dijangkiti Covid-19 kerana ujian saringan yang dilakukan dalam kalangan kontak semuanya negatif.

“Kalau dahulu kita sangka Covid-19 hanya berisiko kepada warga emas dan yang berpenyakit tetapi kini tidak lagi kerana wabak ini boleh menyerang semua peringkat usia,” katanya.

Sehubungan itu, Apli berharap masyarakat dapat mengambil iktibar pengalaman individu dijangkiti Covid-19 dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana kita berlawan dengan wabak yang tidak dapat dilihat tetapi wujud.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN