Sabah kekal pendirian mahu SOP dilonggarkan - Utusan Malaysia

Sabah kekal pendirian mahu SOP dilonggarkan

BUNG MOKTAR RADIN (kiri) dan DR, JEFFREY KITINGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Keputusan Kerajaan Negeri Sabah melonggarkan sebahagian prosedur standard operasi (SOP) dalam pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) perlu dilihat secara positif.

Kelonggaran sebahagian SOP ini penting bagi mempertingkatkan lagi ekonomi negeri Sabah dalam pelbagai industri.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan kerajaan negeri itu adalah berlandaskan data dan fakta. Jika dilihat, jumlah kes harian di Sabah berada pada tahap sederhana berbanding beberapa negeri lain di Semenanjung Malaysia.

“Selaku pemimpin di Sabah, keputusan kerajaan negeri ini adalah satu keputusan bersama yang melalui proses perbincangan maka, saya berdiri teguh di belakang keputusan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Namun, pada masa sama, kita juga tidak menafikan kehendak daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kita semua mahu penularan wabak Covid-19 ini dapat dicegah dan ditamatkan segera,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Kementerian Kerja Raya hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri dan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah ini berkata, sekiranya kelonggaran SOP ini dilihat boleh menyebabkan penularan jangkitan yang tinggi, sudah pasti kerajaan negeri tidak akan melonggarkan SOP berkenaan.

“Apa yang penting sekarang, kerajaan perlu mempercepatkan proses vaksinasi kepada seluruh rakyat di Malaysia termasuk di Sabah,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan turut senada dengan Bung Moktar dan beliau meminta kerajaan Sabah terus kekal dengan pendirian memberi kelonggaran SOP seperti yang sudah diputuskan termasuk kebenaran makan di restoran.

“Kita membuat keputusan ini setelah mengambil kira kawalan SOP di restoran mudah untuk dipatuhi kerana boleh menetapkan bilangan pelanggan yang dibenarkan duduk di setiap meja.

“Kita lebih tahu apa yang sedang kita lakukan maka, kita perlu kekal dengan keputusan ini.

“Di Sabah, kita seharusnya mematuhi SOP yang ditetapkan di negeri ini kerana jika dilihat cara kita mengendalikan penularan jangkitan Covid-19 lebih baik berbanding mereka (Semenanjung). Jadi, mereka yang patut mengikut cara kita,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri dan juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, kerajaan negeri juga seharusnya membenarkan pergerakan rentas daerah antara zon hijau serta membuka semua sektor dalam zon tersebut. Tapi, kemasukan daripada zon lain perlu dikawal agar tiada jangkitan baharu.

Pada Isnin, kerajaan negeri mengumumkan beberapa aktiviti dan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi di Sabah bermula semalam dan ia termasuk kebenaran makan di restoran, operasi kedai gunting rambut, gerai tepi jalan serta aktiviti sukan tidak bersentuhan.

Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mempertikaikan keputusan kerajaan Sabah melonggarkan SOP PKP semasa Fasa 1 PPN yang telah ditetapkan oleh MKN.

Katanya, semua negeri sepatutnya melaksanakan satu SOP yang standard sahaja. Kerajaan sudah memutuskan mesti ada satu standard SOP di seluruh negara jadi, negeri-negeri tidak sepatutnya membuat SOP sendiri yang berbeza-beza. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN