PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan cara-cara untuk membuat permohonan bagi menangguhkan bayaran balik pinjaman selama tiga bulan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN diberikan kepada peminjam yang kehilangan pendapatan (diberhentikan pekerjaan) dan yang terjejas pendapatan (pendapatan berkurangan).
“Peminjam perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian di
www.ptptn.gov.my/penangguhanpkp3.0 mulai 10 Jun 2021 sehingga 31 Ogos 2021. Tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan semasa permohonan.
“Penangguhan bayaran balik ini adalah untuk tempoh tiga bulan bermula pada bulan permohonan diluluskan dan dua bulan ke hadapan di antara Jun hingga Oktober 2021,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.
“Peminjam adalah diingatkan untuk mengemaskini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan maklumat berkenaan kelulusan permohonan penangguhan dapat disampaikan kepada mereka.
“Keputusan ini menunjukkan bahawa kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kesukaran yang ditanggung oleh peminjam PTPTN. Diharapkan inisiatif ini dapat membantu mereka menguruskan kewangan dengan lebih baik dan meringankan beban ekoran terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Bagaimanapun, kata Ahmad Dasuki, bagi peminjam yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran balik pinjaman melalui saluran yang telah disediakan.
“PTPTN mengucapkan terima kasih serta merakamkan setinggi penghargaan kepada peminjam yang terus komited membuat bayaran balik pinjaman demi kelangsungan pembiayaan PTPTN kepada pelajar lain pada masa akan datang,” katanya.
Untuk maklumat dan sebarang pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN melalui talian di 03 – 2193 3000 yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang atau melayari Portal Rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my di ruangan Soalan Lazim.-UTUSAN ONLINE