PM tidak boleh nasihat Agong Parlimen bersidang - Ku Li - Utusan Malaysia

PM tidak boleh nasihat Agong Parlimen bersidang – Ku Li

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat, Perdana Menteri tidak boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li berpandangan, ia telah melanggar Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan tanggungjawab memanggil sidang Dewan Rakyat dalam tempoh enam bulan daripada tarikh akhir persidangan lepas.

“Jika tidak, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri telah melanggar Perlembagaan dan sumpah jawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Seri Paduka sahaja boleh memanggil Parlimen untuk bersidang dan Agong juga mempunyai kuasa mutlak untuk menghenti atau pun membubarkan Parlimen.

Justeru, Seri Paduka diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk menetapkan persidangan Parlimen dalam tempoh masa enam bulan di antara persidangan yang lepas dalam penggal terakhir dan tarikh mesyuarat pertama dalam persidangan penggal akan datang.

Sementara itu, Ku Li dalam kenyataannya menjelaskan pelbagai pihak memberi pelbagai tafsiran kepada ungkapan “as soon as possible” atau secepat mungkin.

“Ada yang berkata dalam Bahasa Inggeris, it means “it is like yesterday” atau “semalam”,” kata beliau.

Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan sesi Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Titah itu dikeluarkan selepas Sesi Perbincangan Khas berlangsung antara Yang di-Pertuan Agong Dan Raja-Raja Melayu di Istana Negara semalam.

Seramai lapan Raja-Raja Melayu berangkat ke Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu kecuali Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Dalam pada itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan berkata, Raja-Raja Pemerintah menyokong pendirian Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen bersidang dengan segera

Raja-Raja Pemerintah berpandangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibolehkan bersidang mengikut kaedah dan pelaksanaan beberapa negara yang berjaya mengawal penularan wabak Covid-19.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan kemudian memaklumkan Kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara selaras menjunjung titah pandangan Seri Paduka. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya