SEREMBAN: Sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) swasta yang pertama di negeri ini telah dibuka di Nilai sejak semalam, khusus bagi menampung peningkatan bilangan pesakit Covid-19 dalam kalangan pekerja sektor dan kilang di negeri ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, berikutan peningkatan ketara kes positif Covid-19 ketika ini, kerajaan negeri berpandangan terdapat keperluan untuk sebuah lagi PKRC dibuka di negeri ini daripada empat buah PKRC sedia ada.
“Sebuah PKRC swasta iaiitu yang dikendalikan oleh Kumpulan Megaklinik Zahran di Nilai telah memulakan operasi semalam bagi menampung keperluan kes pihak swasta terutama dalam sektor perindustrian dan perkilangan.
“Saya berharap pembukaan PKRC ini dapat membantu pihak swasta yang mempunyai bilangan kes yang tinggi. Bagi mereka yang positif Covid-19, mereka akan dikuarantin di hotel dan PKRC yang disediakan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Mesyuarat Mingguan Exco yang dijalankan secara dalam talian hari ini.
Aminuddin berkata, sebanyak 200 buah katil disediakan di PKRC itu dan ia akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak swasta.
“Pihak kerajaan negeri berhasrat untuk menambah 600 katil swasta dengan harga bilik serendah RM150 bagi seorang pesakit. Kesemuanya akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak swasta,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Menteri Besar, sehingga semalam, sebanyak 92,129 dos pertama suntikan Covid-19 telah dijalankan di negeri ini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Seramai 59,986 rakyat di negeri ini telah lengkap menerima dos kedua. Setakat ini, sebanyak 11 peratus daripada 600,000 rakyat di negeri ini telah divaksin,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE










