Pihak ‘prihatin’ tolong timbus lubang digali polis - Utusan Malaysia

Pihak ‘prihatin’ tolong timbus lubang digali polis

SIK Choon Foo melihat lubang yang digali bagi menutup lorong tikus di Kampung Tanah Putih, Gua Musang, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lubang digali pihak polis bagi menutup dua lorong tikus yang sering digunakan kenderaan dari luar untuk merentas masuk ke negeri ini secara haram, bulan lalu didapati telah ditimbus pihak yang ‘prihatin’, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, menjelang Aidilfitri sebelum ini, semakin ramai pemandu dikesan menggunakan laluan tersebut, memaksa pihaknya menggali lubang besar di beberapa lokasi.

Katanya, lorong tikus itu menjadi pilihan untuk orang ramai merentas sempadan secara haram kerana berjaya mengelak sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 7, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, di Kampung Tanah Putih.

“Sekarang ada pula yang pergi timbus semula lubang yang polis gali. Kita juga mendapati penghadang simen yang diletakkan untuk menutup laluan masuk ke lorong tikus itu telah dipecahkan.

“Walau bagaimanapun, polis telah gali semula lubang yang ditimbus itu kerana kita tidak mahu beri ruang langsung untuk mana-mana pihak merentas masuk negeri ini secara haram,” katanya meninjau lokasi lorong tikus terbabit, di sini hari ini.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan Polis Gua Musang bertindak menggali lubang di beberapa lorong tikus dikenal pasti di sekitar Kampung Tanah Puteh, Gua Musang, Kelantan bagi menghalang kenderaan dari luar merentas masuk sempadan Kelantan.

Langkah itu dilakukan selepas laluan berkenaan yang dipasang kon dan penghadang sebelum ini telah dibuang pihak tertentu yang mahu merentas negeri melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

Mengulas lanjut, Choon Foo berkata, selain menggali semula lubang yang ditimbus, pihaknya turut meletakkan penghadang simen dan besi bagi menyukarkan mana-mana pihak cuba membuka semula lorong yang ditutup.

“Kita telah meningkatkan penguatkuasaan di enam kawasan lorong tikus yang dikesan menjadi laluan penduduk negeri ini dan Pahang merentas sempadan sebelum ini.

“Pihak polis meminta masyarakat supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan, dan gunakan laluan sah melalui SJR demi kebaikan semua pihak,” katanya. -UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN