PH Johor gesa kerjasama dwipartisan hadapi Covid-19 - Utusan Malaysia

PH Johor gesa kerjasama dwipartisan hadapi Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor berharap kerajaan negeri akan mewujudkan kerjasama dwipartisan antara kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang dalam usaha melawan pandemik Covid-19 khususnya di negeri ini.

PH dalam satu kenyataan bersama memberitahu, penglibatan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) rentas parti dilihat sebagai satu langkah yang proaktif.

Menurut kenyataan itu, kerjasama ini boleh dibuat menerusi pelbagai platform pembuat keputusan contohnya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“PH Johor menyambut baik pengumuman Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berhubung pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0, semalam.

“Pemberian peruntukan khas sebanyak RM7.05 juta kepada semua ADUN dan Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) untuk melaksanakan program advokasi vaksinasi dan program kebajikan di kawasan masing-masing merupakan satu bentuk kerjasama dwipartisan yang proaktif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan secara bersama itu ditandatangani Pengerusi Parti Amanah Negara Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Semalam, Hasni mengumumkan PRE Ihsan Johor 3.0 dengan peruntukan sebanyak RM241 juta yang membabitkan 33 inisiatif bertunjangkan dua fokus utama iaitu pemerkasaan pengurusan pandemik Covid-19 serta pengukuhan bantuan keselamatan sosial.

Menurut kenyataan itu lagi, PH Johor juga menyokong tindakan kerajaan negeri membeli 190,000 kit ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag), menggerakkan penglibatan rangkaian hospital di bawah KPJ Healthcare dan pemberitahuan bantuan secara one-off kepada pihak terjejas akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

“Namun, dalam masa sama, PH Johor turut mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil untuk menambah baik pelaksanaan PRE Ihsan Johor 3.0 yang diumumkan.

“Antara cadangan itu termasuklah memberi bantuan one-off kepada petani, penternak dan nelayan; meningkatkan capaian jaringan internet dan memudahkan akses masyarakat kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khususnya di kawasan luar bandar,” jelas kenyataan itu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya