Perlis benarkan ibadah korban - Utusan Malaysia

Perlis benarkan ibadah korban

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Perlis membenarkan semua masjid di negeri ini untuk mengelolakan ibadah korban tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan semasa yang ditetapkan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perkara tersebut telah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, pelaksanaan ibadah korban oleh jabatan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula tertakluk kepada keadaan penularan dan perkembangan wabak semasa. 

“Bagaimanapun, pelaksanaan penyembelihan haiwan korban hanya boleh dibuat di rumah sembelihan milik kerajaan, rumah sembelihan swasta, masjid dan premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs).

“Surau dan sekolah agama tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti penyembelihan haiwan korban buat masa ini. Melihat kepada suasana penularan yang masih membimbangkan, tiada aktiviti jamuan kenduri yang dibenarkan,” titah baginda di sini hari ini.

Sementara itu, baginda yang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, semua pihak yang bercadang untuk mengelola ibadah korban di negeri ini perlu mengemukakan permohonan kepada Bahagian Dakwah dan Takmir JAIPs selewat-lewatnya tujuh hari dari tarikh Hari Raya Aidiladha. 

Titah baginda, pihak yang mengelola dan menghadiri pelaksanaan ibadah korban juga, diminta mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sebagai langkah pencegahan.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sebagai langkah persediaan untuk solat Aidiladha di tanah lapang, pengurusan masjid adalah diminta untuk melaksanakan persiapan awal dan mengambil langkah-langkah proaktif.

“Adalah menjadi harapan agar aktiviti pengimarahan berkaitan Aidiladha dapat dibenarkan kepada semaksimum mungkin jemaah.

“Namun buat masa ini pihak MAIPs sedang mempertimbangkan keutamaan kepada mereka yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 untuk menyertai aktiviti pengimarahan Aidiladha, selain dapat diizinkan menyertai solat fardu berjemaah, solat Jumaat dan aktiviti-aktiviti lain di masjid kelak,” titah baginda. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya